Indonesia memaklumkan bahawa pihaknya menemui serpihan berasal daripada kapal selam KRI Nanggala-402 yang hilang bersama 53 kru di perairan Bali.
Panglima Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI), Marsekal Hadi Tjahjanto, berkata ia berdasarkan bukti penemuan tumpahan minyak dan serpihan kapal selam tersebut.
“Unsur-unsur TNI AL telah menemukan tumpahan minyak dan serpihan yang menjadi bukti otentik menuju fasa tenggelamnya KRI Nanggala,” katanya dalam sidang media di Bali, hari ini.
Menurut laporan iNews, Hadi berkata, pencarian KRI Nanggala-402 selama empat hari itu dibantu seluruh pihak berkaitan dan pasukan tentera dari negara jiran.
Tambahnya, hari ini adalah hari terakhir bekalan oksigen yang tersedia dalam kapal selam buatan Jerman tersebut.
“TNI AL bersama Polri, Basarnas, KNKT dan BPBD, serta aset-aset negara sahabat seperti Australia, Amerika Syarikat, Singapura, Malaysia telah berupaya dan semaksima mungkin untuk mencari keberadaan KRI Nanggala.
“Pagi tadi merupakan batas akhir life support berupa ketersediaan oksigen di KRI Nanggala selama 72 jam,” jelas Hadi.
Terdahulu, tular berita yang mendakwa kononnya kapal selam milik TNI, KRI Nanggala-402 ditemui bertebaran dalam media sosial sejak semalam.
Difahamkan, maklumat palsu itu dimuat naik dalam akaun Facebook Dialog Musim Hujan, yang mendakwa selepas 21 jam misi pencarian dilaksanakan kapal selam itu ditemui.
Rabu lalu, kapal selam itu dipercayai terputus hubungan ketika sesi latihan dan hilang di perairan berhampiran Bali.
Kapal selam buatan Jerman pada 1978 itu mempunyai berat 1.39 tan dengan dimensi panjang 59.5 meter, lebar 6.3 meter serta tinggi 5.5 meter. – Malaysiapost

