Fahmi Reza bebas dengan jaminan polis

0
2

AKTIVIS Fahmi Reza dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan semalaman dan memberikan keterangan berhubung siasatan atas tuduhan hasutan.

Peguamnya, Yohendra Nadarajan mengesahkan pembebasan Fahmi dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 5.50 petang tadi.

“Fahmi dibebaskan dengan jaminan polis.

“Dia telah merekodkan keterangan sekitar tengah hari hingga jam 3 petang hari ini,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Polis telah memohon perintah tahanan reman selama empat hari semasa pendengaran pagi ini, tetapi Majistret Nitya Ravindran hanya membenarkan reman selama satu hari yang berakhir petang ini.

Fahmi ditahan malam tadi kerana senarai lagu Spotify bertema ‘cemburu’ yang didakwa menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Semalam, Huzir memaklumkan Fahmi Reza ditangkap di sebuah lokasi di ibu negara oleh sepasukan anggota JSJ Bukit Aman.

Penahanan ke atas suspek dibuat susulan satu laporan polis yang diterima berkaitan satu hantaran menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza yang didapati menghina Raja Permaisuri Agong.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here