PM mahu semua pihak pantau kenaikan harga barang

0
1

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan agensi lain yang berkaitan berterusan memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan bagi menangani isu kenaikan harga barang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan perlu memastikan supaya aktiviti tidak beretika yang menekan dan membebankan pengguna dapat dibanteras dengan lebih menyeluruh dan berkesan.

Justeru, beliau menggesa KPDNHEP dan agensi lain terus menguatkan gandingan bersama-sama mengambil langkah proaktif bagi menangani segera isu kenaikan harga barang.

“Kerajaan menyedari tindakan sebilangan pemborong atau peniaga yang mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan keperluan pada musim-musim tertentu.

Sejak akhir-akhir ini, kita sering mendengar banyak keluhan rakyat mengenai dakwaan kenaikan harga barangan keperluan utama apabila datangnya Ramadan dan kelak apabila menjelangnya musim perayaan.

“Kenaikan harga barang sudah tentunya membebankan pengguna, terutamanya golongan berpendapatan rendah, peniaga dan penjaja kecil,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Menteri sempena Lawatan ke KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin berkata, tindakan KPDNHEP melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bermula 21 April lalu antara langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan sepanjang Ramadan dan menjelang AIdilfitri kelak.

Perdana Meneteri turut meminta warga KPDNHEP terus berperanan lebih efektif dalam mengawal selia sektor perdagangan dalam negeri.

Beliau berkata, ia terutama berkaitan dengan perdagangan pengedaran bagi memastikan kerancakan program dan gerak kerja ekonomi negara supaya sentiasa berjalan lancar.

Selain itu, Muhyiddin berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang dalam lingkungan 6 hingga 7.5 peratus tahun ini.

Katanya, pemulihan aktiviti domestik yang stabil, ditambah dengan peningkatan permintaan luaran, menjadi faktor asas yang mendorong keyakinan tersebut.

“Bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi itu, kerjasama dari semua pihak adalah amat penting bagi memastikan ekonomi negara kita terus berada pada landasan yang tepat.

“Justeru, saya percaya bahawa saudara dan saudari mempunyai komitmen yang tinggi sebagai penjawat awam bagi membantu kerajaan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, dalam usaha untuk mengekang penularan wabak ini dan memastikan kelancaran aktiviti perekonomian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here