KENYATAAN dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan rakyat mula rasa marah kepada Raja-Raja dengan menandatangani petisyen menuntut Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat adalah agak keterlaluan.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, berpendapat Dr Mahathir tidak sepatutnya mentafsirkan jumlah 40,000 rakyat menandatangani petisyen itu secara terus sebagai ‘kemarahan’ rakyat kepada Raja-Raja.
“Saya nak tanyalah kepada Tun Dr Mahathir sama ada dia tahu atau tidak apa yang dimaksudkan dengan ‘marah’ dan bagaimana caranya nak ukur ‘kemarahan’ itu.
“Untuk makluman Tun Dr Mahathir, yang dimaksudkan dengan ‘marah’ itu adalah bila lebih 317,000 rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut beliau mengharamkan Dong Zong dan yang dimaksudkan dengan ‘marah’ itu adalah bila lebih 314,000 rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut beliau melucutkan jawatan P Waytha Moorty sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Senator,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penganalisis politik itu berkata, adalah jauh beza jumlah antara lebih 300,000 rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut mengharamkan Dong Zong dan melucutkan jawatan P Waytha Moorty ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri berbanding hanya 40,000 rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat.
“Lagi pula, 40,000 rakyat menandatangani petisyen bagi menuntut Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat itu tidaklah boleh ditafsirkan secara terus sebagai ‘kemarahan’ rakyat kepada Raja-Raja.
“Dan bila Tun Dr Mahathir sendiri langsung tidak menghiraukan ‘kemarahan’ lebih 300,000 rakyat yang menandatangani petisyen bagi menuntut beliau mengharamkan Dong Zong dan melucutkan jawatan P Waytha Moorty, apa logiknya untuk beliau mendesak pihak lain untuk mengambil berat ‘kemarahan’ hanya 40,000 rakyat yang menandatangani petisyen bagi menuntut Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat.
“Ke manakah hilangnya ‘sense of logic’ Tun Dr Mahathir ini?,” soalnya. – Malaysiapost

