PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan dibuat pemimpin Bersatu yang melabelkan pimpinan Umno sebagai binatang politik adalah politik berpaksikan fitnah yang dijadikan ‘senjata’ parti berkenaan.
Menurutnya, Umno tidak perlu melayan tindakan pemimpin Bersatu itu.
“Kita tidak pasti binatang apa yang disamakan itu, tetapi yang pasti bukan haiwan bergelar katak.
“Mustahil mereka tergamak menyamakan pemimpin Umno yang setia dengan katak,” sindirnya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Beliau berkata, tidak cukup dengan mencerca pemimpin Umno ditambah pula dengan tuduhan bersifat fitnah.
“Ya memang begitulah politik berpaksikan fitnah terus menerus dijadikan ‘senjata’ sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Apapun begitu sekali kebencian ditunjukkan pemimpin Bersatu itu kepada Umno dan pimpinannya, sehinggakan dasar Umno sejak ditubuhkan mempertahankan kepentingan Melayu turut diperlekeh,” katanya.
Beliau mendakwa pemimpin Bersatu itu bersikap demikian kerana marah susulan majoriti pemimpin Umno enggan menggadaikan parti keramat agama, bangsa dan negara itu.
Ahmad Zahid turut meminta supaya pemimpin Bersatu berkenaan memahami ungkapan bermakna daripada Imam Al Syafie ini.
“Katakanlah apa yang kamu inginkan dalam mencela maruahku, maka diamku dari cercaan itu adalah satu jawapan.
“Bukanlah aku tidak memiliki jawapan, Akan tetapi apakah singa perlu melayan salakan anjing?,” katanya. – Malaysiapost

