Peguam menyamar peguam Istana Diraja Johor ditahan

0
1

POLIS Johor menahan seorang peguam yang dipercayai memperdaya sebuah syarikat pengiklanan membabitkan kerugian RM185,000 dengan menyamar sebagai peguam Istana Diraja Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di Kampung Dato Onn, Larkin pada jam 9.40 pagi tadi.

Menurutnya, tangkapan dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor susulan satu laporan polis pada 31 Mac 2011 berkaitan satu kes penipuan menyamar sebagai peguam Istana Diraja Johor.

“Suspek dipercayai memperdayakan sebuah syarikat pengiklanan dengan penyamaran tersebut membabitkan wang RM185,000.

“Wang berkenaan dibayar kepada suspek yang juga peguam bagi bayaran pemasangan papan iklan di kawasan konsesi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura,” katanya dalam sidang media di IPK Johor hari ini.

Menurutnya, kes membabitkan peguam itu adalah kes lama yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) namun dibuka semula selepas polis mendapat bukti baharu.

“Kita buka semula dan kemaskini kertas siasatan serta dapat arahan untuk tuduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Semakan rekod mendapati suspek pernah disabitkan atas beberapa lagi kesalahan lain iaitu pecah amanah, pengubahan wang haram dan kesalahan di bawah Akta Syarikat,” katanya.

Beliau berkata, kebelakangan ini terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan dan mendakwa kononnya mempunyai hubungan rapat dengan Istana Johor atau mendakwa sebagai Kerabat Diraja Johor untuk melakukan penyamaran dan penipuan.

Ayob Khan berkata, sebelum ini terdapat kes dua ahli perniagaan mengaku Kerabat Diraja Johor telah melakukan penipuan dengan menawarkan projek pembersihan tanah yang tidak wujud di Mukim Sekakap, Mersing membabitkan kerugian RM2.4 juta.

“Pada 9 Januari lalu kedua-dua suspek dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis Johor menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang menyamar sebagai Kerabat Diraja Johor atau kononnya mempunyai hubungan baik dengan Istana tanpa usul periksa bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here