[BISNES] ANAK syarikat Penerbangan Malaysia, MASwings kini menawarkan pakej MASwings Travel Pass bagi penerbangan domestik.
Ketua Pegawai Operasinya, Nasaruddin A Bakar berkata promosi tersebut memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati harga tambang yang berpatutan dengan tiga kali perjalanan dalam negara.
“Pakej MASwings Travel Pass ini membolehkan orang ramai melancong sebanyak tiga kali perjalanan dengan menggunakan satu pas sahaja.
“Baucar ini sah sehingga satu tahun dan harga yang kita tawarkan bermula RM499 sahaja,” katanya selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Kota Kinabalu hari ini.
Mengenai perkembangan operasi syarikat penerbangan terbabit, Nasaruddin mendedahkan, pihaknya antara yang paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurut beliau, MASwings kini mengurangkan sebahagian besar operasi penerbangan namun masih mengekalkan destinasi yang sama.
“Ketika ini MASWings mengurangkan 70 peratus operasi bagi pesawat ATR dan 20 peratus bagi pesawat Twin Otter.
“Biasanya kita ada 110 penerbangan tetapi kini hanya beroperasi dengan 50 hingga 60 penerbangan sahaja,” katanya
Mengenai kunjungan hormat terhadap Juhar, beliau berkata rombongan yang turut disertai Ketua Jualan Komersial Malaysia Timur, Nur Hayati Aziz Rashid itu bertujuan memperkenalkan kepimpinan syarikat yang baharu. – Malaysiapost

