Kaji semula tempoh 2 hari tutup sekolah

0
1

PERGERAKAN Wirawati PUTRA Malaysia memohon supaya Kementerian Pendidikan (KPM) berbincang lebih teliti bersama pakar perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan bilangan hari yang sepatutnya bagi penutupan sekolah yang berdepan kes jangkitan Covid-19.

Ketuanya, Dr Asmah Razali berkata kenyataan KPM membenarkan sekolah yang dijangkiti boleh ditutup dua hari untuk proses nyah kuman tidak mampu meredakan kebimbangan ibu bapa.

Katanya, KPM juga harus berbincang dengan persatuan guru serta ibu mengenai penutupan sekolah agar keputusa yang diambil benar-benar mengambil kira keselamatan semua pihak.

“Suka atau tidak kita perlu menyatakan betapa susahnya guru sentiasa memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipantau di sekolah.

“Paling membimbangkan apabila waktu sekolah tamat, guru tiada kuasa untuk mengawal sejumlah besar pelajar di luar pagar, bebas berkerumun tanpa SOP yang mungkin menjadi penyumbang mengapa kes boleh meningkat.

“Amat membimbangkan ketika KKM mengunjurkan kes baharu berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang hujung bulan depan sekiranya kadar kebolehjangkitan meningkat kepada 1.2,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dilaporkan berkata sekolah yang disahkan mempunyai satu kes Covid-19 akan ditutup sekurang-kurangnya dua hari.

Beliau berkata pelajar yang terjejas ekoran penutupan tersebut akan beralih ke pembelajaran dalam talian sehingga kelas fizikal disambung semula. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here