Jawatankuasa rayu tamat darurat dapat perkenan menghadap Agong

0
1

YANG di-Pertuan Agong bersetuju untuk menerima menghadap Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat untuk menyerah petisyen rayuan agar darurat ditamatkan.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Abd Samad yang memaklumkan pihaknya menerima warkah daripada Istana Negara berhubung persetujuan itu pagi tadi.

“Walaupun tarikh untuk menghadap belum lagi ditentukan, kami yakin satu tarikh akan ditetapkan seberapa segera untuk membolehkan kami semua menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan petisyen rayuan tersebut. Kesan buruk darurat semakin ketara hari ke hari.

“Warkah dari Istana Negara itu telah ditandatangani oleh Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim, Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Dipertuan Agong.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Merayu Penamatan Darurat, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas keperihatinan Yang di-Pertuan Agong.

“Patik-patik semua menjunjung kasih di atas kesediaan Tuanku Yang Dipertuan Agong bertemu kami,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selasa lalu, barisan Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat menyerahkan surat permohonan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di pintu tiga Istana Negara.

Hadir sama pada majlis penyerahan surat itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Ia juga kali kedua jawatankuasa tersebut memohon menghadap Seri Paduka Baginda. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here