Anwar tuntut siasatan bebas Parlimen cari punca vaksinasi negara lembap

0
1

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Parlimen mengadakan siasatan bebas berhubung isu kelembapan program vaksinasi negara.

Beliau berkata, sisatan itu bagi mencari punca kelembapan kadar pemerolehan vaksin yang dialami oleh Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan sektor swasta.

“Kita sepatutnya telah bersiap siaga untuk memperolehi vaksin yang berkesan sejak berbulan lalu. Prestasi gerak kerja kita sekarang memang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Anwar juga mendesak Kerajaan Pusat menyokong penuh usaha kerajaan negeri dan sektor swasta untuk mendapatkan perolehan terhadap vaksin yang telah diluluskan.

“Setakat hari ini kurang daripada tiga peratus rakyat Malaysia yang telah mendapat suntikan vaksin untuk melawan Covid-19.

“Sementara Menteri yang bertanggungjawab telah menyalahkan negara-negara kaya kerana memonopoli pasaran, sekali gus mengehadkan akses Malaysia terhadap bekalan vaksin,” katanya.

Anwar berkata, kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik ini menyebabkan beberapa kerajaan negeri, syarikat swasta dan yayasan berusaha sendiri untuk memperolehi bekalan vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Beliau berkata, bagaimanapun usaha itu tergantung kerana sering dilengahkan oleh kementerian berkaitan.

“Kelengahan yang mereka hadapi bakal mengundang padah. Dalam Kesatuan Eropah, apabila kadar vaksinasi rendah di tahap 3%, desakan bertubi-tubi daripada rakyat telah cukup untuk mempercepat kadarnya kepada 17.8% dalam masa sebulan.

“Amerika Syarikat di bawah pentadbiran baru juga bertungkus-lumus mencari jalan buat meningkatkan kadar vaksinasi.

“Namun kerajaan PN di sini terlalu sibuk memikirkan cara untuk mengawal keseluruhan proses dari A sampai Z, sehingga mengakibatkan kelengahan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan Selangor terpaksa menunggu berbulan hanya untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan meskipun sudah memperuntukkan dana sendiri untuk mendapatkan dua juta dos buat rakyat negeri itu.

“Malah, Kerajaan Negeri Sarawak turut menghadapi nasib yang sama dalam mendapatkan kelulusan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Anwar berkata, beliau mendapat aduan daripada beberapa syarikat swasta dan yayasan bahawa permintaan dan usaha mereka untuk mendapatkan vaksin tidak dihiraukan.

“Juga turut dilaporkan bahawa vaksin Sinopharm dijangka tiba pada bulan Mei nanti, namun sehingga bulan Mac kita masih belum pasti sama ada kelulusan telah diberikan, sekaligus menambah timbunan masalah yang menanti penyelesaian.

“Matlamat kerajaan pusat sayugianya adalah memastikan seluruh rakyat Malaysia memperolehi vaksin yang selamat dan berkesan dengan sesegera mungkin. Namun, kerajaan pusat tidak perlulah menguruskan semuanya, daripada membeli sehinggalah menyuntik setiap dos,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan negeri memiliki jaringan dan kemampuan tersendiri untuk memperolehi vaksin yang barangkali mengatasi keupayaan kerajaan pusat.

Katanya, ada juga syarikat swasta yang bersedia untuk membelanjakan sejumlah wang bagi memvaksinkan pekerja dan keluarga mereka, meskipun dengan harga yang mahal.

“Ada juga yayasan dan pertubuhan kebajikan yang bersedia menyokong usaha vaksinasi di kawasan setempat. Terdapat ratusan ribu, bahkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang sanggup membayar sejumlah wang agar dapat divaksin, sama ada di hospital swasta atau klinik.

“Jika kini kita menggunakan pendekatan yang melibatkan semua, mengapa tidak kita menfaatkan sumber yang ada secara menyeluruh?,” soalnya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sekiranya pemain ini diberikan galakan dan kelulusan yang diperlukan dengan kadar segera, bekalan terhad yang kini dimiliki Kerajaan Pusat boleh terus disalurkan kepada golongan miskin dan yang terpinggir.

“Ia bagi memastikan akses yang pantas dan saksama kepada vaksin. Dengan itu, kadar vaksinasi kita boleh bertambah dua atau tiga kali ganda lebih pantas daripada kadar sekarang, yang ternyata begitu lesu,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/04/18/lebih-430000-lengkapkan-dua-dos-suntikan-vaksin-pfizer-biontech/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here