Rentas negeri dibenarkan Isnin hingga Khamis sahaja

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan meluluskan pergerakan rentas negeri pada hujung minggu kecuali membabitkan urusan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh. 
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya akan memperketatkan lagi kawalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi kawalan dan pencegahan Covid-19.
Menurutnya, PDRM membenarkan aktiviti rentas negeri untuk tujuan berkaitan pekerjaan, kecemasan, kematian (hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak dan adik-beradik sahaja), perubatan, pendidikan serta pasangan jarak jauh. 
 “Sekiranya permohonan pergerakan diluluskan, ia hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja, manakala pergerakan hujung minggu iaitu Jumaat hingga Ahad tidak akan diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini. 
Bagaimanapun, menurutnya, larangan rentas negeri pads hujung minggu itu tidak membabitkan urusan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh. 
“Pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa jenis majlis atau jamuan adalah dilarang. “Aturan ini akan berterusan hingga selepas Aidilfitri dan mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas,” katanya. 
Sementara itu, berhubung ketidakpatuhan SOP oleh masyarakat di bazar Ramadan dan pasar malam, Acryl Sani berkata, semua Ketua Polis Daerah dan pasukan pemantau pematuhan SOP akan digerakkan ke semua lokasi berkenaan. “Sekiranya didapati SOP tidak dipatuhi, PDRM akan mengemukakan saranan kepada pihak berkuasa tempatan agar aktiviti perniagaan di kawasan tersebut dihentikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here