Jangkitan harian Covid-19 tinggi, kerajaan nafi manipulasi data

0
1

Najamuddin Mohd Nor
KERAJAAN menafikan spekulasi kononnya jangkitan harian Covid-19 yang tinggi sejak akhir-akhir ini sengaja dibuat-buat dan mempunyai agenda tertentu. 
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah memanipulasi data atau jumlah jangkitan harian kerana ia berdasarkan daripada laporan daripada Jabatan Kesihatan setiap negeri. 
“Saya tak tahu dari mana netizen dapat laporan tentang jumlah kes ini (kes harian Covid-19). KKM dimaklumkan setiap hari jam 12 atau 1 tengah hari, KKM akan menerima laporan setiap negeri. Jabatan Kesihatan setiap negeri akan membuat laporan. 
“Jadi KKM tak boleh manipulasi seperti yang dituduh oleh orang ramai di luar sana mengatakan nombor jumlah itu dimanipulasi, tak boleh memang tak boleh kerana setiap negeri tahu. Mereka tahu berapa nombor yang dijangkiti Covid-19. Jadi tak mungkin KKM nak manipulasi nombor itu sebab negeri-negeri tu pun turut tahu,” katanya kepada media di majlis Iftar bersama ATM di Port Dickson, hari ini. 
Beliau berkata demikian susulan tercetus spekulasi yang mendakwa jumlah jangkitan harian itu boleh dimanipulasi oleh kerajaan untuk tujuan tertentu seperti tidak membenarkan aktiviti merentas negeri ketika ini. 
Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga turut sangsi dengan jumlah jangkitan harian Covid-19 yang tiba-tiba kembali melonjak melepasi angka 2,000 setiap hari. 
“Ramai yang konon-kononnya mengatakan wujud nombor itu tak betul dan sebagainya. Kalau dari segi laporan, penggunaan hospital semakin banyak, maknanya memang banyak kes Covid-19 positif. Penggunaan katil makin bertambah, ICU (Unit Rawatan Rapi) semakin bertambah itu menunjukkan bahawa kes banyak. 
“Tak ada alasan mengapa kita nak manipulasi nombor, kalau boleh kita nak kosong, lagi baik. Lagi senang kerja kita selesai. Tapi kes meningkat dan ini tidak berlaku di Malaysia sahaja. Seluruh dunia. malah beberapa negara Eropah seperti Itali. 
“Mereka di negara Eropah dan juga AS (Amerika Syarikat) dah buat pun beberapa ‘lockdown’, malah ada yang isytihar darurat di beberapa daerah di negara mereka. Jadi gelombang ini berlaku di seluruh dunia. Bukan kita sahaja. Kita berusaha supaya gelombang baru ni tidak meningkat dengan lebih tinggi,” katanya. 
Justeru, Ahli Parlimen Bera itu berharap segala spekulasi negatif ini dihentikan segera kerana boleh dikenakan tindakan kerana menyebarkan berita palsu. 
“Sebab itu, kita memerlukan sokongan daripada semua rakyat. Patuh SOP (prosedur operasi standard) yang dikeluarlan oleh kerajaan, walaupun kita beri kebebasan ada pasar Ramadan, ada majlis berbuka puasa, sesuatu yang kita longgarkan berbanding dengan tahun lepas. Tapi SOP perlu dipatuhi. 
“Saya tak ada nak beri amaran. Saya dah kata tadi, kita rakyat ni kalau boleh sama-sama membantu tugas kita, KKM, polis, pihak berkuasa semuanya untuk menjaga nyawa kita semua. Jadi saya menyeru kita bekerjasama. 
“War-warkan cerita yang tidak betul boleh diambil tindakan oleh pihak polis, membuat berita palsu adalah salah dan boleh diambil tindakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here