MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini dilaporkan menolak permohonan polis untuk menahan reman lima pelakon dan produser video iklan raya promosi judi yang tular semalam.
Peguam kepada seorang daripada pelakon berkenaan, Navin Punj, berkata majistret memberi alasan bahawa kesemua pelakon dalam video berkenaan adalah pelakon bebas dan bukan kakitangan syarikat berkenaan.
“Reman pelakon video itu ditolak hari ini oleh mahkamah di IPD Dang Wangi tapi kita telah akujanji dengan pihak polis sekiranya dipanggil untuk bantu siasatan kita akan kerjasama.
“Ditolak atas alasan kesemua mereka adalah pelakon bebas dan bukan bekerja dengan syarikat itu, mereka hanya diupah untuk buat video tersebut,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette
Navin berkata, kesemua mereka akan dibebaskan oleh polis hari ini dan menjelaskan anak guamnya tidak mengetahui apa-apa skrip ketika rakaman video itu dibuat.
“Semasa rakaman, mereka tidak tahu skip video itu apa. Tidak ada skrip video, tidak ada lagu dan muzik.
“Video diambil awal sebelum kejadian ini jadi panas. Sebab itu majistret menolak permohonan reman tapi kerjasama kita akan beri,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan lapan individu termasuk tiga wanita ditahan berhubung video iklan mempromosi judi untuk sambutan Aidilfitri yang tular semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata mereka yang ditahan itu termasuk pelakon, ejen, juruvideo dan produser iklan berkenaan.
Katanya, setakat ini PDRM menerima 38 laporan polis berhubung video iklan terbabit.
“Susulan siasatan dijalankan, polis berjaya mengesan dan menahan lapan individu termasuk lima lelaki dan tiga wanita disyaki terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo/kamera serta produser/pengarah video tersebut.
“Kesemua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan penggambaran video tersebut yang diadakan di dua lokasi iaitu di Ampang dan Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lalu,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/17/8-individu-terbabit-iklan-judi-aidilftri-ditahan/

