OPERASI restoran, kedai makan, kedai runcit dibenarkan sehingga jam 10 malam di tujuh daerah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan bermula hari ini sehingga 29 April.
Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) PKP dikongsi di Facebook Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, pemilik kedai makan boleh berniaga dengan cara penghantaran, pandu lalu atau membungkus makanan kerana makan di kedai tidak dibenarkan.
Tujuh daerah yang dikenakan PKP ialah Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang dan Bachok
Menurut MKN, bazar Ramadan dan pasar malam tidak dibenarkan beroperasi, manakala pasar harian, pasar pagi boleh beroperasi dari jam 7 pagi sehingga 2 petang manakala pasar borong juga boleh dibuka dari jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi dan 11 pagi hingga 4 petang.
“Stesen minyak boleh dibuka dari jam 6 pagi sehingga 10 malam, kecuali di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.
“Institusi pendidikan dibuka sehingga pemakluman terkini oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Untuk mengadakan majlis rasmi, majlis sosial, seminar, bengkel, kursus, mesyuarat terbuka dengan pihak luar juga tidak dibenarkan,” menurut SOP tersebut.
SOP itu menyatakan rentas daerah tidak dibenarkan, kecuali urusan kerja, pendidikan dan kecemasan. Had penumpang kenderaan mengikut kapasiti sebenar.
Pada masa sama, pergerakan pekerja memerlukan surat pengesahan daripada majikan.
“Aktiviti sukan dengan bersentuhan fizikal tidak dibenarkan.
“Solat terawih dibenarkan atas ketetapan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” menurut MKN. – Malaysiapost

