Iklan raya syarikat judi: PAS WP gesa kerajaan serius tangani judi

0
1

PENERBITAN video iklan raya oleh syarikat judi GDBet333 bukan sahaja mengaibkan umat Islam, bahkan jelas bertentangan dengan undang-undang di negara ini.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya berkata pihaknya sekali lagi menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan aktiviti perjudian perlu ditangani secara tegas dan pantas oleh pihak berwajib.

“Penularan sebuah video iklan oleh syarikat judi GDBet333 bukan sahaja mengganggu keharmonian awam ketika di bulan Ramadan, dengan menggunakan pelakon kelihatannya berbangsa Melayu bahkan berlatarkan Hari Raya, hari kemenangan umat Islam.

“PAS Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan hari ini supaya lebih tegas dan efektif dalam membendung perkara-perkara sebegini. Mengapa perlu mengambil masa terlalu lama untuk menanganinya?

“Di samping itu, PAS Wilayah Persekutuan juga ingin menegaskan bahawa kerajaan perlu menangani isu perjudian sehingga ke akar umbi. Tidak lagi timbul isu judi “halal” mahupun “haram”,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azhar berkata dalam tempoh darurat ini, sewajarnya tidak menjadi masalah kepada kerajaan untuk lebih efektif dan efisyen membanteras aktiviti perjudian dalam negara.

Terdahulu hari ini tular Klip video oleh syarikat judi GDBet333 memaparkan pelakon lelaki memakai baju Melayu dan perempuan muslim yang bertudung dengan lagu berkisar mengenai Aidilfitri.

Video tersebut memaparkan seorang lelaki kelihatan sugul kerana tidak dapat pulang beraya ke kampung disebabkan tiada wang.

Namun nasib pemuda itu berubah setelah mencuba nasib menerusi web syarikat perjudian itu.

Antara lirik pada lagu dalam video klip berkenaan adalah:

“Nak balik kampung duit tak ada, tapi ada cara untuk mencari, GDBet333 ada, apa ditunggu marilah cuba, untung nasib mu engkau berjaya, cuci semua kemudian beraya.” – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here