Lebih baik kecilkan Kabinet dari…

0
1

ADALAH lebih baik Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengecilkan Kabinetnya daripada mencadangkan penjawat awam mewakafkan gaji.

Perkara itu dikritik oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir yang berkata, Muhyiddin seharusnya memanfaatkan undang-undang Darurat dengan mengurangkan jumlah bilangan menteri dan timbalan menteri yang tidak penting.

Katanya, begitu juga dengan jawatan duta-duta khas yang tidak memberikan impak terhadap ekonomi negara.

“Dalam pandemik Covid-19 ini, tidak semua kementerian berfungsi dengan baik. Apatah lagi melantik menteri-menteri dalam kalangan MP yang hanya bertujuan untuk mengekalkan kuasa.

“Alangkah baik jika elaun dan gaji menteri yang mencecah puluhan ribu setiap seorang itu dapat dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan rakyat berbanding meminta penjawat awam untuk berwakaf,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lebih mengecewakan, Akmal berkata, tiada seorang pun pakar ekonomi dan kewangan menasihati Muhyiddin untuk berjimat dengan mengecilkan Kabinetnya.

“Pengumuman terbaru Perdana Menteri, mengenai situasi kewangan negara sudah diduga pelbagai pihak. Meskipun Muhyiddin dikelilingi oleh ramai pakar ekonomi dan pakar kewangan, tidak ada satu idea pun yang dikemukakan oleh pakar untuk mengurangkan jumlah bilangan menteri dan timbalan menteri yang terlalu besar.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan, ditambah dengan situasi pandemik covid-19 yang tidak menentu, apakah keperluan untuk Muhyiddin mengekalkan jumlah kabinet yang terlalu besar?,” katanya.

Hari ini, Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi telah mengangkat sumpah jawatan Timbalan Menteri Persekutuan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here