AHLI Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Kabinet akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Parlimen bagi membahaskan isu penularan wabak Covid-19, minggu hadapan.
Pemimpin Veteran DAP itu, berkata perkara itu penting susulan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa negara mungkin akan berdepan dengan gelombang keempat Covid-19.
“Memandangkan ada kemungkinan negara dilanda gelombang keempat wabak sebelum kita berjaya mengawal gelombang ketiga, adakah Kabinet akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dengan agenda khusus membahaskan cara mengekang penularan Covid-19 ini?
“Adakah kita akan melihat mana-mana menteri meletakkan jawatan sebagai tanda protes atas keengganan Kabinet untuk membincangkan masalah ini dalam mesyuarat kabinet pada hari Rabu depan?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kit Siang berkata, kabinet seolah-olah tidak mempedulikan nasihat Agong berhubung sidang Parlimen termasuk membahaskan strategi terbaik mengelakkan gelombang keempat Covid-19.
Sebelum ini, Sultan Abdullah bertitah, Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Baginda menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut. – Malaysiapost

