SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap kes dua pengawal peribadi dibelasah dan diacu pistol oleh majikannya kerana berpuasa.
Suhakam dalam satu kenyataan berkata majikan berkenaan wajar didakwa atas tuduhan menyerang, memukul serta kesalahan undang-undang yang lain.
“Ia selaras Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa ‘setiap orang mempunyai hak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya’.
“Suhakam juga ingin menjelaskan akan kepentingan menghormati kebebasan setiap orang untuk menjalankan tuntutan atau kepercayaan melalui anutan, amalan serta ajaran agama mereka dan tiada sesiapa yang boleh dipukul, dihina atau diaibkan kerana melaksanakannya.
“Dalam hal ini, majikan perlu menghormati kebebasan agama atau kepercayaan, termasuk hak pekerja untuk mengakui, menzahirkan kepercayaan dalam bersembahyang, perayaan, amalan dan ajaran agama mereka walaupun di tempat kerja,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Suhakam dengan tegas menggesa setiap sektor atau industri untuk memastikan agar langkah sewajarnya diambil bagi menghalang dan menghapus segala bentuk sikap tidak bertoleransi terhadap agama, ketidaksamaan dan diskriminasi.
“Suhakam ingin menekankan akan keperluan untuk kita menyemai budaya hormat menghormati, bertolak-ansur, kesaksamaan dan tidak mendiskriminasi dalam masyarakat.
“Malah setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan untuk mewujudkan persekitaran yang saling menghormati dan meraikan kepelbagaian agama,” katanya.
Sehubungan itu, Suhakam menzahirkan kekecewaan terhadap isu tersebut kerana ia sudah tentu tidak memberi motivasi kepada pekerja untuk bekerja lebih kuat atau mempromosi persekitaran pekerjaan sihat.
“Malah sebaliknya ia meningkatkan lagi persepsi negatif terhadap majikan dan syarikat di Malaysia yang tidak melindungi dan menghormati hak pekerja,” katanya.
Semalam, media melaporkan dua pengawal peribadi mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang bukan beragama Islam.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, pihaknya menerima laporan pada 4.16 petang berkaitan dua lelaki dipukul secara bergilir-gilir di bahagian belakang badan menggunakan rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa mangsa berada di rumah majikannya dan dipercayai berpunca daripada majikan memarahi mangsa kerana berpuasa. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/04/15/suspek-pukul-2-bodyguard-dibenarkan-reman/

