Zii Jia bersendirian terima vaksin hari ini

0
1

JUARA perseorangan lelaki badminton All England 2021, Lee Zii Jia menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 hari ini.

Jaguh negara berusia 23 tahun itu terlepas suntikan vaksin Covid-19 yang diberi kepada kumpulan pertama atlet di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras kelmarin akibat demam.

Majlis Sukan Negara (MSN) berkongsi perkembangan Zii Jia dalam pengambilan vaksin jenis Pfizer-BioNTech itu di Facebooknya hari ini.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan
atlet badminton negara, Lee Zii Jia selesai menjalani Vaksin dos pertama selepas sembuh dari demam,” tulis hantaran itu.

Kumpulan pertama seramai 264 atlet dan pegawai yang layak atau terbabit dengan Sukan Olimpik yang dijadual bermula 23 Julai hingga 8 Ogos dan Sukan Paralimpik pada 24 Ogos hingga 5 September, menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech kelmarin.

Sebelum ini, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata Zii Jia mengalami demam sejak dua hari lalu, mungkin disebabkan kepenatan selepas menyertai banyak acara dan majlis sejak menjuarai kejohanan badminton berprestij itu bulan lalu.

Beliau menjelaskan pemeriksaan dengan doktor Institut Sukan Negara (ISN) menunjukkan Zii Jia mengalami demam biasa, manakala keputusan ujian swab Covid-19 negatif. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here