EMPAT individu disyaki terbabit dengan kes dua pengawal peribadi dibelasah dan diacu pistol oleh majikannya di sebuah rumah di Batu Nilam, Klang sudah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya menerima laporan pada jam 4.16 petang semalam berkaitan dua lelaki dipukul secara bergilir-gilir di bahagian belakang badan menggunakan rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa mangsa berada di rumah majikannya di Bukit Tinggi, Klang.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada majikan memarahi mangsa kerana berpuasa.
“Majikan terbabit juga telah mengambil sepucuk pistol di pinggang salah seorang mangsa dan mengacukan ke arah mangsa serta mengeluarkan ugutan yang menghina agama,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Shamsul Amar berkata, susulan laporan itu polis menangkap empat individu yang disyaki terbabit dengan kejadian itu.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan.
“Semua suspek akan direman di Mahkamah Klang pada hari ini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat atau mana-mana individu agar tidak msnyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama sehingga menjejaskan keharmonian kaum.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak luar batasan undang-undang.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalur terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33719999 atau di balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

