Aku YB ke Kau YB’ kembali jadi perhatian netizen

0
1

SEKIAN lama tidak menjadi perbualan netizen, Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee kini kembali tular.  
Sinonim dengan ayat ‘Aku YB ke Kau YB’ suatu ketika dahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu itu dirakam pula seolah-seolah bertengkar dengan peniaga bazar Ramadan dan video kejadian itu tular sejak semalam.  
Video berdurasi tiga minit 49 saat itu, menunjukkan Norhizam dipercayai berada di sebuah tapak bazar Ramadan dan sedang bertengkar dengan peniaga mengenai prosedur operasi standard (SOP) di bazar berkenaan. 
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila dan di bazar mana kejadian itu berlaku. 
Turut kelihatan dalam video berkenaan beberapa individu yang memakai vest polis, namun kejadian hanya membabitkan pertengkaran mulut sahaja. 
Berdasarkan video yang tular itu, dipercayai peniaga tidak berpuas hati dengan SOP membabitkan laluan keluar dan masuk ke bazar berkenaan yang dikatakan menyukarkan pengunjung serta peniaga.  
Norhizam pula cuba menerangkan mengenai SOP yang ditetapkan oleh kerajaan termasuklah membabitkan bazar. 
Norhizam sebelum ini pernah tular apabila menyerbu sebuah stor di Sungai Ramai dan selepas itu bertengkar dengan penduduk berhubung dengan penutupan jalan pintasan di Taman Akasia, Melaka. 
Beliau turut dilaporkan bertengkar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan mengeluarkan kata-kata kesat. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here