Nilam Oshman
HARGA barang kemas yang jatuh sejak awal tahun ini menjadikan perhiasan berharga itu menjadi pilihan orang ramai untuk digayakan ketika Aidilfitri nanti.
Menurut peniaga ketika tinjauan Malaysiapost di Wisma Yakin, Jalan Masjid India di ibu negara, kedai emas diserbu orang ramai seminggu sebelum Ramadan selepas harga emas susut sehingga RM230 segram.
Pekerja Bombay Jewellery, Gul Fisha Khan berkata harga emas kini menurun menjadi RM230 segram berbanding tahun 2020 iaitu RM280 segram.
Justeru, katanya ia menjadi punca kedai emas diserbu orang ramai lebih-lebih selepas pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Tahun ini keadaan perniagaan boleh dikatakan memuaskan, jualan sangat baik… orang ramai mula membeli lagi-lagi selepas kerajaan benarkan pengeluaran i-Sinar.
“Kebanyakan mereka buat pelaburan menerusi emas kerana tahu ia membawa keuntungan.
“Ramai yang datang beli sekarang sebab harga emas sudah banyak turun, ramai juga yang beli awal untuk raya nanti,” katanya.
Katanya lagi, aktiviti perniagaan emas berjalan lancar tahun ini, walaupun masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun kelonggaran yang diberi oleh kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu peniaga.
“Tahun 2021 ini sangat bagus, hari minggu dan hari biasa pun ramai yang berpusu-pusu datang. Waktu Ramadan ini lagilah ramai.. yang laris rantai dan gelang emas,” katanya. – Malaysiapost

