PN terbuka terima sesiapa sahaja, tanpa syarat – Hamzah

0
1

SETIAP orang berhak memberi pandangan dan pendapat serta berhak untuk menyertai mana-mana parti politik, kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Semua orang boleh beri pandangan, pendapat. Semua ada hak untuk menyertai mana-mana parti yang dia nak.

“PN boleh terima mana-mana yang mahu ikut perkara yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dia berkata demikian mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang ‘mungkin’ mempertimbang untuk menyertai PN jika tiada ‘penjenayah’ dalam kerajaan sekarang.

Terdahulu, menerusi temu bual bersama Malaysiakini pada Rabu lalu, bekas Perdana Menteri itu mengakui ada usaha dilakukan untuk membawa dia menyertai gabungan PN.

Mahathir dipetik berkata, usaha itu tidak berjaya kerana dia tidak boleh bekerjasama dengan beberapa ‘penjenayah’ yang menyokong kerajaan sekarang.

Bagaimanapun, Mahathir berkata keadaan itu mungkin berbeza jika individu berkenaan berada di luar PN.

“Bukan saja masa tu (Langkah Sheraton), sekarang pun ada usaha nak tarik saya masuk. Saya tak boleh.

“Saya buat ucapan janji dengan orang kita nak tolak Najib (Razak), saya tak boleh kerjasama dengan Najib.

“Parti (Umno) sekarang ni kalau tak ada Najib dan empat, lima orang lagi kluster mahkamah tu, jatuh.

“Dia orang bergantung kepada bukan Melayu, kedua penjenayah. Saya tidak boleh dikaitkan dengannya,” katanya.

Mahathir merujuk kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beberapa pemimpin Umno lain termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/15/tun-m-akui-ingin-sertai-pn-jika-tiada-umno/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here