KERAJAAN akan mengeluarkan tawaran tender terbuka menerusi permohonan cadangan (RFP) bagi pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dan Menumbok di Sabah pada 22 April ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata jemputan bagi tender tersebut akan diiklankan kepada pihak yang berminat.
Beliau berkata, hal berkaitan pembinaan jambatan tersebut antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Gaya di Kota Kinabalu semalam.
“Terima Kasih Ketua Menteri sudi menerima kunjungan hormat saya di Seri Gaya.
“Perbincangan termasuk pembinaan jambatan Labuan – Menumbok, Sabah. Terima kasih atas sokongan.
“Pada 22 April jemputan tender terbuka RFP akan diiklankan dan dibuka, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya lewat malam tadi.
Pada November tahun lalu, Annuar dilaporkan berkata kerajaan bersetuju pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
Annuar dipetik berkata kementeriannya dan Kementerian Kerja Raya dalam proses memuktamadkan terma rujukan untuk melaksanakan proses RFP yang dijangka dapat dikemukakan kepada syarikat berminat.
Ketika itu beliau menjangka menjelang September tahun ini pembidaan akan dibuat penilaian dan dijangka pada Oktober dapat memuktamadkan kaedah mana yang akan dipakai dan syarikat mana diberi peluang untuk membina jambatan tersebut. – Malaysiapost

