Nasib rider basikal berubah bila terjumpa Steven

0
2

DI MANA ada kemahuan di situ ada jalan. Itulah yang dapat digambarkan kepada kegigihan seorang pemuda yang hanya menggunakan basikal untuk bekerja sebagai rider penghantar makanan.

Kegigihan pemuda dikenali sebagai Mohamad, 22, yang tidak menyerah kepada keadaan untuk meneruskan kelangsungan hidup telah mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Menerusi hantaran Facebook, Steven nyata teruja melihat kesungguhan Mohamad yang melakukan dua kerja dalam satu masa, biarpun dalam serba kekurangan.

“Hari ini Ramadan pertama. Saya ditemukan dengan seorang rider food panda yang menginsafkan saya tentang nilai sebuah kehidupan.

“Adik Mohamad mengayuh basikal meredah hujan dan panas demi sesuap nasi, walaupun ketika berpuasa.

“Apabila saya bertanya kepadanya, mengapa dia berbasikal dan tidak menunggang motosikal seperti yang lain, dia jawab, dia tidak ada motosikal.

“Basikal pun dipinjam daripada kawan, itupun seat dia dan banyak yang dah rosak. Tapi demi mencari rezeki, dia redha,” catatnya.

Lebih meruntunkan hati Steven apabila melihat kedua-dua lengan Mohamad hitam dipanah terik matahari kerana terpaksa menempuh keperitan hidup biarpun memiliki segulung diploma kejuruteraan.

“Adik Mohamad merantau jauh dari Kelantan ke Pulau Pinang untuk bekerja. Keluarganya tidak kaya, tapi mementingkan pendidikan. Ada 10 orang adik beradik. Ayahnya seorang guru agama. Dia sendiri lulusan diploma kejuruteraan Poli, dengan keputusan cemerlang.

“Tapi setakat ini gajinya hanya RM500 sebulan, nak makan pun tak cukup, sewa bilik dia tak bayar, atas ehsan kawannya. Adik Mohamad tidak merungut, malah bersyukur dengan peluang yang ada.

“Sebaliknya lepas kerja setiap hari, dia pinjam basikal kawan untuk jadi rider food panda. Lepas kerja, rehat satu jam, pi kayuh sampai 11 malam. Dapat RM20-30 sehari, cukup makan beberapa kali. Ada kala, makan nasi lemak tiap-tiap hari sebab nak jimat duit.

“Saya tengok kedua-dua belah tangannya pun sudah terbakar dek terik matahari. Mata masuk habuk mendengar kisah adik Mohamad,” katanya.

Atas rasa tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, Steven telah menghadiahkan sebuah motosikal baru kepada Mohamad untuk memudahkan tugasnya menghantar makanan.

“Beginilah, saya tak pandai hal agama, tapi kawan-kawan ajar saya bulan Ramadan ini banyak berkat. Saya mohon berkat Ramadan, saya belikan adik Mohamad sebiji motor.

“Asalnya adik Mohamad macam tak percaya. Tapi bila saya bawa ke kedai motor kat Bukit Mertajam, dia terus terharu. Kita beli Honda. Saya bayar cash.
Kalau orang kecam saya guna peruntukan kerajaan beli motor, saya nak habaq saya tak ada peruntukan nak guna. Saya sekarang Ahli Parlimen pembangkang.

“Ini saya beli guna wang gaji saya sendiri. RM4,500 termasuk road tax, insurans, settle penuh, minyak isi full tank, adik Mohamad boleh terus bawa motor ini tak payah bimbang. Bolehlah adik naik motor ke kerja dan jika jadi rider, tak payah susah susah kayuh basikal,” catatnya.

Bukan itu sahaja, Steven turut membelikannya krim pelindung pancaran matahari kepada Mohamad.

“Kami juga pergi farmasi beli krim aloe vera dan krim sunblock. Saya peringat adik Mohamad agar wajib sapu krim setiap kali sebelum keluar buat food panda. Kita perlu jaga kesihatan diri. Kalau jatuh sakit, mak ayah juga yang akan bimbang.

“Hari ini Ramadan pertama, saya belajar satu benda yang penting. Kita perlu banyak-banyak bersabar dalam menempuh cabaran hidup.

“Jangan putus asa walau susah macam mana sekalipun, dongipap kipidap! Setiap perkara ada hikmahnya, Tuhan tidak pernah mengabaikan kita. Adik Mohamad telah menginsafkan saya tentang perkara ini,” catat Steven. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here