Hadi tak faham apa makna majoriti dengan integriti – Zaid Ibrahim

0
2
malay mail

“PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu didesak untuk diadakan secepat mungkin, itu yang patut dilakukan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” kata Pengerusi DAP Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim.

Menurut Zaid, PRU15 adalah jalan penyelesaian untuk menentukan siapa yang ada majoriti dan siapa lebih berketerampilan dalam integriti.

Justeru, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu membidas Abdul Hadi dengan menyifatkan Presiden PAS itu tidak layak untuk memberi kenyataan atau bercakap mengenai perkara yang beliau sendiri tidak faham atau tidak mahu faham.

“Saya membaca tulisan Abdul Hadi dalam Facebooknya semalam. Dia mendakwa kononnya, apa guna orang politik memegang majoriti besar kalau mereka tidak ada integriti.

“Rumusan yang saya faham dari kenyataan ini ialah kalau parti seperti Umno dan Pakatan Harapan (PH) mendapat kemenangan besar, itu semua tidak ada erti kerana mereka tidak ada integriti.

“Bagi beliau (Abdul Hadi) dan barisan kepimpinannya hari ini, integriti itu bererti hanya ada pada orang yang belum dituduh atau tidak ada kes jenayah di mahkamah, sebaliknya ramai pemimpin Umno sekarang ini digelar Kluster Mahkamah dan nampaknya tidak berintegriti,” katanya di Facebook, hari ini.

Zaid juga mengingatkan Abdul Hadi bahawa maksud integriti berbeza dengan keperluan majoriti dan dua konsep yang berlainan.

Katanya, kerajaan yang sah di negara ini adalah mereka yang disokong oleh sebahagian besar wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya umum.

“Ini konsep yang mudah difaham. Kalaulah peluang diberi oleh Speaker, kita sudah lama mengetahui hal ini tanpa was-was. Keperluan majoriti adalah tuntutan perlembagaan dan kalau kita hormati perlembagaan itulah yang perlu dilaksanakan.

“Integriti, untuk maklumat Tok Guru Hadi Awang adalah sifat dan nilai seseorang seperti keikhlasan, keterbukaan, patuh kepada undang-undang dan tidak putar belit fakta untuk sesuaikan diri mereka dengan keadaan semasa.

“Kluster Mahkamah bukan mereka yang hipokrit, apatah lagi menyalahgunakan kuasa. Mereka yang dihadapkan ke mahkamah, yang mana keputusan muktamad belum selesai, tidak termasuk dalam golongan orang yang tidak berintegriti,” katanya.

Zaid turut memberi contoh, golongan yang berselindung kononnya mengamalkan integriti termasuk mereka yang menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk kekal berkuasa melalui darurat.

“Contoh lain, katanya, menggunakan kuasa kerajaan “memujuk wakil rakyat lompat parti, menggunakan wang kerajaan tanpa perlu diluluskan Dewan Rakyat, bercakap mengenai reformasi dan kerajaan cara Islam, tetapi tidak sanggup membuat perubahan menyeluruh dalam sistem pentadbiran negara sesuai dengan kehendak negara demokrasi tulen,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Abdul Hadi yang juga Duta Timur Tengah bertaraf Menteri menyifatkan tiada guna dan mendapat faedah jika memiliki sokongan majoriti yang besar, tetapi pada masa sama tidak berintegriti.

Abdul Hadi juga berkata, sekiranya dari awal lagi pemerintah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti, ia akan berakhir dengan kemusnahan negara.

Justeru, Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS dan parti kompenen dalam Perikatan Nasional (PN) menawarkan sebuah kerajaan yang dapat menyelamatkan rakyat dengan konsep negara berkebajikan yang akan membawa berkat.

Menurutnya PAS dan PN menolak pemerintah yang suka berbohong kerana itu adalah bibit-bibit hilangnya integriti dan bakal mengundang unsur keburukan termasuk menjadi kleptokrat. – Malaysiapost

Foto Kredit: Malay Mail/Saw Siow Feng

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here