Wakaf melalui potongan gaji penjawat awam bantu ekonomi negara – Cuepacs

0
1

PEMBABITAN 1.6 juta penjawat awam dalam memberi sumbangan wakaf tunai melalui potongan gaji secara berkala dan sukarela mampu memperkasakan dana wakaf negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata sempena Bulan Wakaf Kebangsaan, pihaknya menyeru penjawat awam untuk terlibat dalam sumbangan wakaf tunai melalui potongan gaji secara berkala dan sukarela.

Katanya, ia antara lain bagi mengukuhkan lagi peranan wakaf dalam pembangunan sosial serta ekonomi negara.

Menurutnya, langkah itu diharap dapat mengukuhkan peranan wakaf sebagai elemen penting yang mampu membantu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Langkah kerajaan meluluskan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2020 untuk melakukan potongan gaji wakaf tunai secara sukarela bagi pegawai awam yang berkhidmat di Persekutuan dan negeri merupakan satu kemudahan yang perlu dimanfaatkan oleh semua penjawat awam.

“Bayangkan sekiranya 1.6 juta penjawat awam menyumbang purata RM10 seorang setiap bulan untuk sumbangan wakaf, sudah tentu sekitar RM192 juta setahun mampu dikumpulkan ke dalam dana wakaf tersebut setiap tahun melalui penjawat awam sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun usaha yang lebih berkesan perlu dilakukan oleh kerajaan terutama Yayasan Wakaf Malaysia bagi meyakinkan dan menggalakkan penglibatan penjawat awam terutama mereka yang bukan beragama Islam.

“Cuepacs juga berharap Yayasan Wakaf Malaysia dengan penglibatan majlis agama-agama Islam negeri melaksanakan pelbagai lagi inisiatif bagi mengukuhkan penglibatan rakyat terutama masyarakat bukan Islam supaya bersama-sama terlibat dalam pembangunan dana wakaf.

“Persepsi mengenai dana wakaf hanya khusus untuk umat Islam sahaja perlu ditangkis dalam pemikiran rakyat melalui pendekatan yang lebih mesra kepada masyarakat bukan Islam,” katanya.

Adnan berkata, dalam konteks perkhidmatan awam pula, Cuepacs berharap semua ketua jabatan perlu memainkan peranan aktif dalam menggalakkan pegawai dan kakitangan terlibat dalam sumbangan wakaf tunai melalui potongan gaji.

“Salurkan info secara jelas mengenai peranan dan kepentingan berwakaf agar penjawat awam lebih jelas mengenai potongan gaji yang mereka lakukan.

“Salah faham mengenai wakaf hanya untuk orang Islam dan hanya memberi manfaat kepada golongan itu sahaja harus diperbetulkan kerana konsep wakaf adalah untuk kesejahteraan umat manusia secara keseluruhan,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dilaporkan menggalakkan penjawat awam berwakaf khususnya secara berkata melalui potongan gaji.

Beliau berkata, tindakan itu antara empat perkara utama yang digariskan bagi memastikan instrumen wakaf dapat memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi negara – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here