Solat terawih kembali bergema di Masjid Jamek Kampung Baru

0
1

Nurul Huda Abhar

MASJID Jamek Kampung Baru, antara masjid tumpuan warga kota menunaikan terawih saban tahun, kembali bergema dengan solat sunat berkenaan malam tadi.

Suasana itu kelihatan setelah solat terawih berjemaah dibenarkan semula mulai malam tadi untuk bilangan jemaah terhad dan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Ia sama sekali berbeza dengan keadaan tahun lalu apabila semua masjid di seluruh negara ditutup sepanjang Ramadan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Ab Hamid berkata dianggarkan 1,000 jemaah hadir menunaikan solat terawih pertama, malam tadi.

“Pematuhan SOP semua dalam keadaan terkawal, penjarakan fizikal dipantau dan sejadah disusun mengikut jarak ditetapkan.

“Pemakaian pelitup muka juga ditekankan dan pihak masjid sudah bersedia dengan pengawal keselamatan masjid,” katanya kepada Malaysiapost.

Menurut Azizi, Masjid Jamek Kampung Baru mempunyai empat pengawal keselamatan tetap yang memantau keadaan dari segi kawalan SOP di samping bantuan daripada pegawai masjid yang lain.

Berikutan malam tadi adalah terawih pertama diadakan dengan jumlah jemaah yang ramai, Azizi tidak dapat menyembunyikan perasaan syukur apabila masjid kembali diimarahkan semula.

“Perasaan saya sangat teruja dan bersyukur. Bayangkan tahun lepas hanya imamkan solat terawih untuk kurang dari enam jemaah sahaja.

“Jadi tahun ini adalah perkara yang menggembirakan apabila dibenarkan solat kembali di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur walaupun dalam norma baharu.

“Kami pihak Masjid Kampung Baru, untuk solat sunat terawih pada tahun ini diimamkan oleh tiga orang imam sebanyak 20 rakaat,” ujarnya lagi.

Mengulas berkenaan jumlah jemaah mungkin semakin bertambah selepas ini, Azizi berharap pandemik Covid-19 menjadi asbab umat Islam bersatu hati kembali menunaikan solat jemaah di masjid.

Azizi berkata, apa yang diharapkan adalah jemaah kekal konsisten mengimarahkan masjid dalam konteks untuk menghidupkan kembali malam di bulan Ramadan dan solat terawih.

“Mudah-mudahan tahun ini dengan adanya wabak Covid-19 menjadi satu inspirasi kepada warga kota khusus kariah Kampung Baru lebih bersemangat untuk berjemaah dalam solat sunat terawih.

“Insya-Allah, harap semakin meningkat lagi jemaah yang hadir, itu sahaja harapan saya,” katanya.

Kerajaan membenarkan solat terawih di semua negeri pada Ramadan kali ini dengan pelaksanaan SOP yang ketat.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kebenaran solat terawih tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here