Klip audio: Tun Faisal ajak Presiden Umno bersumpah

0
1

BEKAS Timbalan Ketua Umno Putrajaya, Datuk Tun Faisal Aziz mengajak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersumpah bersama-sama supaya dapat membersihkan nama masing-masing.

Menurut beliau, cara tersebut dianjurkan oleh Allah dan Rasul.

“Selain membuat laporan polis untuk menyiasat kesahihan audio yang akan mengambil sedikit masa, bersumpah atas nama Allah setidak-tidaknya boleh meredakan kecaman terhadap Datuk Seri,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Kenyataan Tun Faizal itu berhubung kait dengan dakwaan beliau dituduh terlibat merakam atau mencipta audio perbualan Ahmad Zahid dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga mendakwa telah dituduh memfitnah Presiden Umno itu berkenaan kewujudan surat sokongan terhadap Anwar.

“Tulisan yang memfitnah saya sebagai dalang ‘penciptaan’ dan penyebaran audio Anak Murid – Cikgu ini telah disebarkan menggunakan WhatsApp kepada ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua sayap bahagian oleh pihak yang mempunyai nombor-nombor telefon mereka.

“Besar kemungkinan oleh pihak Umno Pusat sendiri yang mempunyai akses terhadap nombor-nombor ketua-ketua Umno bahagian dan sayap-sayap bahagian di seluruh negara,” dakwanya.

Baru-baru ini tular di media sosial klip audio seakan-akan Presiden Umno dan Presiden PKR dalam perbualan ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 berlangsung.

Video berdurasi lebih empat minit tersebut juga melibatkan perbualan mesra antara dua pemimpin itu, dan turut termasuk perbualan Ahmad Zahid menggelar Anwar sebagai ‘cikgu’nya.

Susulan itu, Ahmad Zahid dalam kenyataan menafikan wujud perbualan antara beliau dan Presiden PKR itu, dan menyifatkan tindakan itu sebagai percaturan politik jahat dan licik.

Sementara itu, Tun Faisal turut mencadangkan agar acara angkat sumpah bersama-sama Presiden Umno dilakukan selepas solat Jumaat, pada 19 April ini pada jam 2.30 petang.

“Semoga nama kita berdua dapat dibersihkan dan Umno dapat kembali bersatu dan berada di landasan sebenar perjuangan,” kata beliau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here