Wanita maut ditolak suami dari tingkat 18

0
1

SEORANG wanita maut disyaki ditolak suaminya melalui tingkap ruang tamu di tingkat 18 unit kediaman mereka di Kondominium Bukit Awana, Ayer Itam tengah malam tadi.

Mayat S Primila, 35, ditemui di atas bumbung bilik panel suis elektrik di Blok 11 kondominium itu oleh orang awam pada jam 12.06 tengah malam.

Susulan penemuan mayat ejen insurans itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata polis menahan suami mangsa berusia 34 tahun di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat ke atas tukang masak itu dia mengakui berlaku pergaduhan antara mereka sebelum menolak mangsa dari tingkap kediaman di tingkat 18.

“Siasatan lanjut mendapati suspek curiga mangsa menjalin hubungan dengan lelaki lain dan ia punca pasangan itu bergaduh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pasangan suami isteri itu mendirikan rumah tangga lebih setahun lalu.

Susulan penahanan suspek, Soffian berkata polis merampas dua telefon bimbit serta daun kering dipercayai ganja.

“Suspek yang positif ganja kini direman enam hari sehingga 15 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here