KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menyemak semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang telah digunapakai oleh perkhidmatan awam selama ini.
Presidennya, Adnan Mat berkata SSM telah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam bermula November 2002 dan sejak itu ia tidak pernah dikaji atau ditambah baik.
Menurutnya, selepas 19 tahun SSM dilaksanakan Cuepacs berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula skim sedia ada itu bagi memenuhi keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa.
“Kajian semula SSM ini perlu dilakukan segera memandangkan skim tersebut digubal berdasarkan keadaan ekonomi dan sara hidup sekitar tahun 2002 dan kini ia boleh dianggap tidak lagi relevan dengan persekitaran ekonomi semasa.
“Dalam tempoh 19 tahun ini kita telah berhadapan pelbagai kos kenaikan sara hidup termasuk harga rumah yang begitu mendadak.
“Ketika ini gaji permulaan di sektor kerajaan adalah RM1,200 tanpa mengambil kira lain-lain elaun dan ia masih jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara yang baharu iaitu RM2,208,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adnan berkata, antara perkara yang perlu diberi penekanan dalam SSM terbaharu adalah penetapan kadar gaji minimum RM1,800 sebulan.
Beliau berkata, gesaan Cuepacs untuk kerajaan mengkaji semula SSM tidak bermaksud mahu kerajaan melaksanakannya segera pada tahun ini tetapi suatu usaha yang benar-benar kukuh perlu dilakukan.
Mengulas lanjut, Adnan berkata Cuepacs bersedia untuk mengadakan rundingan dan perbincangan dengan kerajaan dalam menyemak dan memperbaharui semula SSM.
“Suatu tindakan drastik perlu dilakukan bagi menyemak semula SSM ini agar hasrat kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan penyampaian sektor awam dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata menerusi Bengkel Semakan SSM dan Pemurnian anjuran Cuepacs bermula Jumaat hingga hari ini, Cuepacs juga mendapati tiada penambahan jawatan Gred 28 dan 40 sebagaimana kelulusan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016.
Katanya lagi, Cuepacs berharap kerajaan dapat menambah gred kenaikan pangkat itu agar motivasi dan pelaksanaan pekeliling benar-benar dilaksanakan. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/31/cuepacs-saran-teruskan-kerja-dari-rumah/

