Saya tak sihat ketika hadir program – timbalan menteri

0
1

Nurul Huda Abhar

“SAYA tak sihat ketika program itu,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith.

Eddin Syazlee berkata demikian ketika dihubungi Malaysiapost berhubung isu tular dikatakan beliau tertidur dalam satu majlis.

Menurutnya, beliau tidak mahu mengulas lanjut berkenaan keadaan kesihatannya kini tetapi menegaskan hanya tidak sihat ketika menghadiri majlis graduasi Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah yang diadakan di Pall Mall, Seremban.

“Takkan keadaan kesihatan saya ingin dipaparkan. Tapi keadaan saya tidak sihat ketika waktu itu (majlis),” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbarnya, Farahiah Zubir berkata, keadaan kesihatan Timbalan Menteri Kerja Raya kurang sihat dan ada mengambil ubat sebelum menghadiri majlis itu.

Namun begitu, Farahiah berkata bagi memenuhi undangan, Eddin Syazlee tetap hadir ke majlis graduasi sekolah tersebut walaupun kesihatannya tidak terlalu baik.

“Datuk ada makan ubat sebelum pergi majlis itu, sebab itu datuk mengantuk dan tidak dapat kawal.

“Datuk tidak mempunyai penyakit kritikal cuma tidak berapa sihat ketika majlis itu. Mungkin terlalu letih. Ditambah pula durasi majlis tersebut sedikit lama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, perkara seperti itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, malah Eddin Syazlee juga baru selesai mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Farahiah juga memberitahu sepatutnya Eddin Syazlee tidak perlu hadir ke majlis graduasi berkenaan jika kesihatanya tidak mengizinkan.

“Sepatutnya Datuk tidak perlu hadir ke program itu jika beliau tidak sihat. Mungkin dari kami terlepas pandang menggalakkan beliau hadir ke program itu

“Ini kali pertama ia berlaku. Kami berharap dan akan pastikan ia tidak berlaku lagi,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial mendakwa Timbalan Menteri Kerja Raya tertidur dalam majlis graduasi sebuah sekolah.

Menerusi video berdurasi lebih satu minit itu Eddin Syazlee kelihatan tertidur dan beliau sebagai jemputan rasmi turut menyarung jubah konvokesyen.

Jelas kelihatan tiga individu terpaksa bangun dan mengejutkan Eddin Syazlee yang tertidur dalam majlis itu.

Berikutan itu, menerusi ciapan di laman Twitter, Eddin Syazlee membuat penjelasan berkenaan video tular tersebut.

“Datuk Eddin kurang sihat namun bagi memenuhi undangan jemputan beliau gagahkan diri untuk hadir.

“Alhamdulilah pada majlis ini Datuk telah meluluskan pemasangan penghawa dingin untuk Dewan Sekolah dan juga menyumbang sedikit dana untuk membantu pihak sekolah memperoleh bas,” tulisnya dalam ciapan itu.

Hantaran di Twitter tersebut dipercayai dikemaskini pegawainya. – Malaysiapost

.
Artikel berkaitan :

https://malaysiapost.com.my/2021/04/11/tular-menteri-kerja-raya-tertidur-ketika-majlis-graduasi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here