Nurul Huda Abhar
KIRA-KIRA 3,000 penjaja dan peniaga akan mengambil bahagian dalam bazar jualan di Kuala Lumpur sepanjang Ramadan tahun ini.
Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah berkata setakat ini menerusi rekod pihaknya lebih 2,000 peniaga telah mendaftar untuk mengambil bahagian dalam bazar Ramadan.
“Secara keseluruhan termasuk bazar ria yang menjual pakaian, kira-kira 3,000 peniaga akan berniaga sepanjang bazar Ramadan dan Aidilfitri dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan persatuan yang diiktiraf.
“Bazar juadah di setiap kawasan Parlimen ada iaitu yang menjual makanan, kuih kuih serta lauk-pauk untuk berbuka puasa.
“Waktu mereka berniaga 3 petang hingga 8 malam,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Menurutnya, bazar Ramadan di kawasan tumpuan seperti Jalan Raja Alang, Jalan Raja Muda dan UTC Sentul juga akan dibuka Ramadan ini.
Mohamad berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi bazar Ramadan telah disediakan dan dipantau penuh oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa.
Beliau berkata, bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga digunakan untuk mengawal pergerakan keluar masuk ke bazar untuk memastikan tidak terlalu sesak.
“Kita tidak mahu jika ramai pembeli datang dalam satu masa, akan tercetus kluster baharu. Itu akan merumitkan semua pihak.
“Dari segi SOP memang sudah disediakan termasuk dari segi jarak fizikal, pakai sarung tangan dan pelitup muka serta kawalan laluan masuk dan keluar,” katanya.
Tambah Mohamad, masyarakat khususnya pembeli harus patuh dengan SOP yang telah ditetapkan dan menerima budaya norma baharu untuk mengekang jangkitan Covid-19.
Selain itu, katanya, operator-operator yang mengendalikan makanan jika didapati mempunyai gejala penyakit tidak akan dibenarkan untuk menjalankan perniagaan.
“Jika dahulu tiada sekatan dari segi masa untuk membeli di bazar, dan tiada had masuk berapa orang. Kini kita akan pastikan ada penjarakan fizikal dan tidak terlalu sesak.
“Jika penganjur ingkar kepada arahan yang ditetapkan pihak berkuasa, mereka akan serta-merta diarahkan untuk tutup bazar tersebut,” ujarnya. – Malaysiapost
Mengulas berkenaan status bazar di kawasan Pasar Datuk Keramat yang terbakar pada 17 Mac lalu, Mohamad berkata ia masih diteruskan di tapak yang sama selepas DBKL melakukan operasi pembersihan tapak.
Menurut beliau, pembinaan semula dari segi struktur di Pasar Datuk Keramat yang musnah dalam kebakaran tempoh hari, akan mula dilakukan selepas Ramadan yang dijangka akan mengambil masa dalam empat bulan.
Katanya, arahan perlaksanaan bazar telah dikeluarkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bagi tujuan mengimarahkan Ramadan dan DBKL bertanggungjawab penuh untuk memastikan bazar yang beroperasi berjalan seperti yang dirancang.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah kerana mendengar denyut nadi penjaja, dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan bazar Ramadan dapat beroperasi dalam norma baharu.
“Jika bazar Ramadan tutup, sumber pendapatan penjaja dan peniaga juga akan terjejas kerana sebelum ini pun mereka terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19,” ujarnya.
Pada 16 Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengumumkan operasi bazar Ramadan bazar Aidilfitri dan solat tarawih dibenarkan di seluruh negara pada Ramadan ini.
Perlaksanaan tersebut diikuti dengan SOP yang ketat.
Bagaimanapun, katanya, SOP bagi penganjuran bazar akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri, dan kebenaran solat tarawih pula tertakluk kepada SOP dan keputusan pihak berkuasa agama negeri. – Malaysiapost

