Nilam Oshman
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lapan lokaliti di Tawau, Sabah dan satu di Sungai Passin, Matu, Bahagian Mukah, Sarawak bermula esok hingga 25 April ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi kes Covid-19 di
lapan lokaliti di daerah Tawau itu.
“Ia melibatkan Taman Sri Bukit Tawau; Taman Cahaya; Jalan Tengku Osman; Kuarters Bomba Tawau; Bandar Sri Indah; Jalan Mesra; Kampung Titingan; dan Taman Golden Hill.
“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 76 kes positif Covid-19 dan 220 orang kontak rapat telah dikesan dalam lapan lokaliti tersebut.
“KKM juga mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan Covid-19 di lokaliti di atas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi. Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam
Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lapan lokaliti di Daerah Tawau, Sabah bermula dari 12 April hingga 25 April 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau turut memaklumkan PKPD di Sungai Passin, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak selepas KKM turut melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di kawasan tersebut.
Sehingga kini, katanya, secara kumulatif sebanyak 32 kes positif Covid- 19 telah
direkodkan hasil saringan ke atas 64 orang penduduk di lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam
Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Passin, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak bermula 12 April sehingga 25 April 2021,” katanya. -Malaysiapost

