JAMUAN berbuka puasa, moreh termasuk sahur tidak dibenarkan diadakan di semua masjid dan surau seluruh Terengganu sepanjang Ramadan ini.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, berkata ketetapan itu bertujuan membantu kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, jemaah masih dibenarkan berbuka puasa, moreh dan bersahur dengan makanan berbungkus tanpa membabitkan bilangan ramai.
“Garis panduan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti sepanjang Ramadan termasuk majlis berbuka puasa sudah diedar kepada jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri.
“Jawatankuasa masjid dan surau diminta menyediakan kurma dan air bagi membolehkan jemaah yang datang awal untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah berbuka puasa,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mat Azmi berkata, gotong-royong dalam kalangan penduduk kampung menyediakan juadah berbuka puasa di masjid dan surau adalah kelaziman sebelum Covid-19 melanda.
Katanya, semua jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini perlu sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19. -Malaysiapost

