Kegembiraan selama ini cuma topeng – Janna Nick

0
1

SEKALI lagi nama pelakon dan pengacara Janna Nick menjadi sebutan kerana menangis di laman Instagram.

Menerusi video berdurasi lebih tiga minit itu, Janna atau nama sebenar Nurul Jannah Muner, 26, meluahkan perasaannya ketika sedang memandu kereta.

“Saya tak suka dilihat sebagai seorang yang lemah, malah saya tidak mahu orang lain tahu mengenainya di mana saya tidak kuat. Saya berasa penat. Saya nak menjadi seperti orang biasa.

“Saya nak menyendiri dan tiada siapa yang dengan sesuka hati mendekati saya. Saya cukup penat. Saya nak berhenti bekerja, tapi tak boleh. Saya masih perlu bekerja dan membantu keluarga.

“Saya penat apabila tidak boleh berbuat apa-apa, tapi perlu buat juga dan terus ke depan. Ia buatkan saya menjadi penat,” katanya dalam tangis.

Namun begitu, Janna menafikan dirinya tidak bersyukur dengan rezeki dikurniakan atau tidak gembira dengan pekerjaan sekarang.

Pelakon itu memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan kehidupan dan keluarga tetapi berasa penat kerana otanya sentiasa tidak berhenti berfikir.

“Saya hanya nak berehat. Jadual saya padat sehingga hujung tahun ini. Badan saya sangat penat, tapi otak saya tidak begitu,” ujarnya.

Janna juga pengacara Melodi turut menyifatkan dirinya sebagai ‘gagal’ apabila tidak dapat menyembunyikan lagi tekanan terhadap kerjaya dalam kehidupannya.

“Bukan soal saya benci karier atau kehidupan bekerja. Saya suka bekerja, tak boleh tak bekerja. Jadi otak saya terus memaksa badan untuk bekerja. Walaupun ada hari yang saya nak rehat, saya tetap paksa untuk berfikir dan terus berfikir,” katanya.

Bintang siri ‘Marry Me Senorita’ itu mengakui letih terpaksa berpura-pura untuk menjadi ‘Janna Nick’ yang disifatkan sebagai topeng untuk kelihatan gembira selain memiliki kehidupan sempurna.

“Saya manusia biasa dan mahukan kehidupan normal. Saya tak suka bercakap dan berjumpa orang. Dulu, apabila saya tak gembira, saya tidak jumpa alasan kenapa tidak boleh tak gembira.

“Sekarang, saya gembira tapi otak tidak membenarkan untuk saya berehat. Dari situ saya tahu saya ada masalah. Tapi jangan risau, saya akan selesaikan sendiri,” katanya.

Ruangan komen hantaran itu dibanjiri dengan kata-kata semangat daripada rakan artis dan netizen yang meminta Janna untuk berehat dan lebih mendekati tuhan untuk memperolehi ketenangan jiwa. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here