‘Gembira tak terkata, selalu lihat di media’

0
2

Muhammad Apendy Issahak

“ALHAMDULILLAH dengan bantuan Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob) permohonan saya untuk dapatkan kaki palsu baharu sudah diperoleh.”

Demikian luah veteran tentera, Mahaudin Abd Rahman ketika ditemui Malaysiapost di rumahnya di Kampung Batu Papan dekat Bera, Pahang, semalam.

Pesara tentera berusia 61 tahun itu terharu apabila menerima kunjungan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyampaikan bantuan tersebut semalam.

“Gembira tak terkata, selalu hanya lihat di media sahaja dan tak sangka beliau sudi datang ke rumah saya.

“Alhamdulillah, dengan bantuan beliau yang juga wakil rakyat di Bera ini, permohonan saya untuk dapatkan kaki palsu baru sudah pun diperoleh,” katanya.

Mahaudin putus kaki kiri pada bahagian buku lali akibat terkena periuk api ketika ketika operasi menentang komunis menerusi Ops Kota di Gerik, Perak pada 1982.

Sementara itu Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata pengorbanan anggota tentera terutama veteran yang berjuang demi negara akan terus dihargai dan dibela terutama dari segi kebajikan.

Ini kerana katanya, mereka bukan sahaja berkorban untuk negara bukan sahaja ketika peperangan malah dalam menjaga kedaulatan negara ketika aman.

“Tanpa pengorbanan mereka, negara belum tahu lagi boleh kekal dalam keadaan aman.

“Pengorbanan mereka bukan sahaja sewaktu peperangan, tetapi dalam keadaan negara sedang aman kerana mereka berada di barisan hadapan untuk mempertahankan kedaulatan negara,” katanya kepada Malaysiapost

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana rakyat Malaysia sentiasa prihatin dan menyalurkan bantuan kepada warga tentera yang memerlukan.

“Dalam perkara ini memang banyak pihak memberi sumbangan kepada warga tentera, sebagai contoh penghargaan setiap tahun kita sediakan Tabung Pahlawan di mana orang ramai akan memberikan sumbangan.

“Saya harap ramai lagi yang akan tampil menyumbang supaya memberi lebih semangat kepada anggota tentera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here