AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata akar umbi Umno semakin apa yang sebenarnya berlaku di sebalik tabir dalam kepimpinan partu ketika ini.
Beliau dipercayai berkata demikian merujuk kepada pemdedahan audio didakwa perbualan antara Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu lalu.
Bagaimanapun katanya bagi ahli parti dan pemimpin Umno yang fanatik pada individu atas apa jua sebab, mereka berhempas pulas cuba meragui dan menutupi kebenaran.
“Mereka tidak peduli kalau telah merosakkan Muafakat Nasional, menjejaskan Barisan Nasional dan cuba mengagalkan Perikatan Nasional.
“Kerana kecewa agenda peribadi tidak diikuti, mereka reka kempen membenci agar dapat disembunyikan konspirasi. Akhirnya Kantoi sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya lewat malam tadi.
Kelmarin, Annuar dilaporkan berkata beliau yakin audio didakwa perbualan antara Presiden Umno dan Presiden PKR yang tular, 100 peratus tulen.
Annuar berkata, beliau telah mendengar audio perbualan itu lebih 10 kali dan bukanlah sukar untuk mengenal pasti identiti kedua-dua individu berkenaan.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Umno dan BN turut meminta Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatannya.
Rabu lalu Ahmad Zahid menafikan wujud perbualan dengan Anwar seperti dalam audio rakaman yang tular di media sosial.
Malah, Ahmad Zahid menegaskan tiada sebarang perbualan antaranya dengan Presiden PKR itu selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 baru-baru ini.
Berikutan itu beliau mengarahkan pegawainya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang terlibat.
Anwar turut menafikan perkara tersebut dan meminta pegawainya membuat laporan polis, selain mendakwa ia cubaan untuk mengalih perhatian berhubung perseteruan antara Umno dan Bersatu. – Malaysiapost

