PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain gembira dengan persembahan skuad bimbingannya apabila bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pasukan yang sedang ‘on form’, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di gelanggang lawan malam tadi.
Dalam aksi Liga Super yang pertama dihadiri penonton di Stadium Darul Aman, pasukan Hijau Kuning mendahului pada minit ke-39 menerusi jaringan sendiri pertahanan TFC, Muhammad Mohd Faudzi.
Namun skuad Penyu bangkit dengan gol penyamaan menerusi penalti David Da Silva pada masa kecederaan babak pertama sebelum Azam Azmi Murad meledak gol kemenangan pada babak kedua.
“Kita tahu datang ke Kedah bukannya mudah, lagipun kita tengok momentum Kedah mencatat kemenangan berturut-turut manakala selepas empat perlawanan kita banyak keciciran mata.
“Jadi, memang kita ke sini untuk dapatkan tiga mata. Kita percaya apa yang kita lakukan, jadi apa yang dirancang malam ini pemain dapat terjemahkan di atas padang.
“Saya bersyukur dengan tiga mata yang memang kita tunggu setelah empat perlawanan dan ia sangat bermakna apabila bertemu Kedah dan pertama kali adanya kehadiran penyokong,” katanya selepas perlawanan.
Nafuzi juga memuji barisan pemainnya yang mempamerkan tempo permainan rancak walaupun kebanyakannya pemain muda.
“Kalau kita tengok majoriti pemain semuanya muda tetapi karakter, sikap dan usaha ditunjukkan dalam padang dengan umur sebegitu memang bagus untuk Terengganu dan bola sepak Malaysia, terutama dari segi keyakinan diri apabila bermain menentang pasukan yang baik.
“Tekanan yang tinggi dalam kita memerlukan mata penuh tetapi pemain bermain dengan yakin dan kita dapat menyaingi. Saya lebih daripada berpuas hati malam ini,” katanya lagi.

Keputusan itu membolehkan TFC berada di tangga ketiga liga dengan 15 mata setelah mengharungi lapan perlawanan, satu mata di belakang KDA FC yang memungut 16 mata.
Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memiliki 17 mata tetapi kurang satu perlawanan hanya akan turun padang bertemu Petaling Jaya City malam ini. – Malaysiapost

