Adakah hasil rompakan juga kena cukai, soal Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

JIKA ia hasil rompakan, adakah hasil rompakan juga dikenakan cukai? Demikian sindir Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian susulan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menghantar notis kebangkrapan kepadanya awal minggu ini.

Dalam satu hantaran di Telegram miliknya, Najib menggambarkan dirinya dizalimi dengan beberapa undang-undang percukaian yang boleh dipertikaikan.

“Jika ianya dikira sebagai sumbangan politik, ianya tak boleh dicukai.

“Jika ianya diambil kira pula sebagai pendapatan peribadi dari luar negara, ianya telah dikecualikan cukai sejak tahun 2004.

“Jika ianya hasil rompakan, adakah hasil rompakan juga dikenakan cukai? Kenapa pula dakwa saya bahawa ianya hasil rompakan?,” catatnya hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu yang di ambang status kebankrapan turut mempersoal kenapa dirinya dikenakan cukai pendapatan sedangkan wang diterimanya sebagai dana politik telah dipulangkan kembali kepada penyumbangnya.

“Dan sejak bila wang yang dipulangkan kepada penghantar selepas tempoh empat bulan sahaja dikira sebagai pendapatan yang dikenakan penalti cukai 40%+10%+5%?

“Saya telah didakwa dengan kes jenayah. Aset saya sudah tiga tahun dilucut hak tanpa sebarang bukti.

“Kni kerajaan mahu bankrapkan saya dengan undang-undang LHDN yang tidak boleh dicabar dalam mahkamah,” katanya.

Najib menambah, peguam belanya turut didakwa dengan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta kerana menerima wang daripada beliau.

“Dua peguam bela saya juga didakwa dengan kes AMLA atas mereka bayaran fi guaman dari saya adalah haram. Selain membela saya, mereka kini diperlukan bela diri.

“Tidak pula dijadualkan dan diberi peluang merayu kesahihan cukai tambahan RM1.74b ini kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan di bawah LHDN.

“Bagaimana pula saya nak mengupah peguam untuk membela saya?,” katanya.

Terdahulu dilaporkan pegawai LHDN datang ke kediaman Najib pada Isnin lalu dan menyampaikan notis itu kepada beliau secara peribadi dan telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 Mei ini.

Pada Jun 2019, kerajaan melalui LHDN memfailkan tuntutan saman terhadap Najib bagi menuntut lebih RM1.69 bilion dengan kadar faedah lima peratus tahunan bermula dari tarikh penghakiman serta kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here