Tampar murid: Polis buka kertas siasatan

0
2

POLIS buka kertas siasatan berhubung seorang murid lelaki tahun satu mengalami kecederaan di mulut dipercayai akibat ditampar seorang guru di sebuah sekolah agama di Kulai, Johor pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurutnya, kertas siasatan berkenaan bertujuan untuk mendapatkan punca kejadian dan polis kini sedang giat mengesan saksi bebas selain akan berhubung dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai serta Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi mendapatkan maklumat terperinci.

“Berdasarkan kejadian pada 4 petang semalam, seorang pegawai kanan polis di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah menerima satu maklumat daripada media sosial berkaitan kes berkenaan.

“Semakan awal pihak polis mendapati tiada sebarang laporan polis diterima dan kemudiannya satu laporan dibuat pihak polis sebagai maklumat pertama untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Izan Zaki di talian 014-5296880.

Menerusi laporan media, seorang murid tahun satu itu bengkak dan berdarah di bibir dipercayai ditampar guru lelaki.

Menurut ibu kanak-kanak malang itu, Ida Sofea Mohamed, 34, memberitahu pihaknya kecewa kerana guru berkenaan memberi alasan bahawa anak lelakinya berusia tujuh tahun menangis.

Jelasnya, guru lelaki tersebut dikatakan hilang sabar lalu menampar muka anaknya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here