KLUSTER Belaoh tercetus di Terengganu akibat kedegilan orang kampung ‘mengeteh’ di kedai kopi selepas menunaikan solat di surau atau masjid.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, aktiviti berkumpul itu yang menyebabkan peningkatan jangkitan Covid-19 di Kampung Belaoh.
“Selalunya majlis keramaian seperti kenduri kendara, majlis tahlil, majlis hari jadi dan macam-macam majlis lagi akan dikaitkan dengan kewujudan kluster baru.
“Suasana di kampung sangat berbeza di bandar. Sunyi dan sepi persekitaran. Rumah pun jarang-jarang. Internet pun tak ada. Tapi kenapa boleh berlaku kluster besar di sini.
“Rupanya situasi di kampung ada kelainan. Selain dari majlis yang disebutkan tadi, rupanya mereka ada aktiviti sosial lain yang boleh dikatakan rutin untuk penduduk kampung
mengeteh di kedai kopi selepas solat,” katanya menerusi Facebook.
Tambahnya, kebiasaan apabila ke masjid dan surau rata-rata patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).
“Tapi keluar masjid jadi lain. Mengeteh kedai kopi menjadi satu rutin. Lepas Asar minum air kedai Pok Leh (nama samaran). Lepas Isyak minum air kedai Pok Soh pulak (nama samaran). Begitulah.
“Di mana-mana kampung tradisional pergerakan dari satu kampung ke kampung adalah bebas dan luas sebab kedudukan Kampung rapat. Lagi pun anak-beranak, warih waroh belaka.
“Penularan di bandar besar berbeza dengan di kampung. Tapi risiko penularan sama jika perkumpulan masih ramai biar pun tak rasmi. Mengopi kedai kopi atau duduk sembang-sembang atas gere pun semua berisiko andai perjumpaan lama dan ramai orang. Apa lagi jemaahnya sama sahaja,” katanya.
Jelasnya, ianya menjadi satu rutin dan tanpa pematuhan SOP, makanya tempat begitu bakal menjadi pusat penyebaran virus Covid-19.
“Bila mereka ini positif mereka balik menularkan kepada ahli keluarga pulak,” katanya.
Menurutnya, selama dua minggu Terengganu melaporkan hanya satu digit kes harian Covid-19.
“Rupanya situasi tidak lagi joong (reda) malah telah hujan lebat khususnya di Besut di mana hari ini telah melaporkan sebanyak 29 kes baru. Paling tinggi setakat ini. Kampung Belaoh ni di Mukim Hulu Besut. Kluster terbaru yang dilaporkan di sini adalah berasal dari kampung ini.
“Penilaian mendapati terdapat risiko penularan jangkitan Covid-19 yang tinggi di kampung ini, maka PKPD telah dilaksanakan di Kampung Belaoh termasuk dua kampung bersebelahan iaitu Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak.
“Tekaan kami tepat. Hari ini kluster ini melaporkan sebanyak lapan kes baru menjadikan total (keseluruhan) kes dari kluster ini adalah seramai 25 orang.
“Justeru ujian saringan bersasar akan dilakukan di tiga kampung ini dan akan melibatkan seramai 2,322 orang penduduk. Kita doakan yang terbaik,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, satu kes impot B hari ini telah menjangkiti lima ahli keluarga yang lain.
“Kontak rapat kes positif negeri lain telah menjangkiti tujuh ahli keluarga yang lain. Sampai bila begini.
“Kitaran ini tak akan berhenti selagi pandemik Covid-19 belum berakhir. Hari ini Rt di Terengganu adalah 0.88 (sebelum ini 0.53).
“Kita sudah pesan banyak kali. Walaupun negeri Terengganu adalah PKPP kita tak boleh ambik mudah kepatuhan SOP. Minggu depan nak posa (puasa) dah. Bazar dibuka. Buka puasa di hotel dan restoran juga dibuka.
“Tolonglah patuh SOP supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk. Jaga diri kita dan jaga orang lain,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Twitter @/ErenaTakeuchi

