Umno larang pemimpin parti buat kenyataan media

0
1

UMNO hari ini memutuskan kenyataan rasmi mengenai dasar parti itu hanya boleh dikeluarkan oleh Presiden, Timbalan dan Setiausaha Agung sahaja.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Pengurusan Umno semalam yang dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa (AJK) parti.

Justeru, beliau berkata, semua pemimpin Umno diingatkan supaya berhenti membuat kenyataan media termasuk menerusi media sosial yang didakwa hanya mengeruhkan suasana politik semasa.

“Kenyataan rasmi mengenai dasar parti hanya boleh dikeluarkan oleh Presiden, Timbalan dan Setiausaha Agung.

“Selain daripada tiga orang ini, kenyataan yang keluar hanyalah pandangan peribadi,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau juga mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak mengeruhkan suasana hubungan dalaman parti dan rakan politik terutama ketika membuat sebarang pandangan perbadi.

“Pastikan pandangan peribadi kita itu tidak mengeruhkan suasana hubungan dalaman sesama UMNO dan hubungan sesama rakan parti politik yang Mesyuarat MKT telah bersetuju untuk mereka bersama.

“Perbalahan sesama sendiri di khalayak awam yang mengundang kepada sebaran negatif media adalah tidak menguntungkan perjuangan kita,” katanya.

Ahmad berkata, pemimpin Umno juga diingatkan tidan melayan ‘asakan’ media yang didakwanya hanya ingin menghebahkan berita sensasi.

“Kita bukan bertanggungjawab kepada mereka (media). Kita berikan kerjasama dengan baik kepada mereka terutama untuk hebahkan aktiviti prihatin rakyat dan membela rakyat di kawasan masing-masing.

“Fokus kita ialah untuk menghadapi PRU15 dan memenangi seberapa banyak kerusi yang bakal ditandingi. Fokus kita ialah untuk mengukuhkan Umno, bersama BN dan memantapkan MN.

“Mohon ingatan ini diambil perhatian dan tindakan. Terima kasih,” tulisnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here