Aiman Hanif
[TERKINI] MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata tiada masalah untuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui yang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ‘guru politiknya’.
Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat laporan polis yang dibuat berhubung penyebaran audio perbualan didakwa antara Ahmad Zahid dan Presiden PKR itu.
“Sudah tentu kita (KDN) akan siasat semua laporan yang telah diberikan kepada kita. Pertama siasat tentang ketulenan, apakah ada perbuatan itu.
“Kalau tidak ada perbualan itu maka bermakna cetita yang dibuat itu adalah fitnah. Kalau ceritanya betul, saya dengar juga (audio itu), ceritanya Zahid mengaku bahawa Anwar adalah cikgu, cerita yang betul. Kalau itu betul.
Hamzah berkata, beliau turut hairan apabila kedua-dua pemimpin itu seakan ‘melatah’ dengan isu audio perbualan terbabit.
“Salah ke Anwar (Ibrahim) jadi cikgu kepada Ahmad Zahid. Yang dua-dua nak marah ni kenapa. Saya pun hairan juga.
Sementara itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, tidak menjadi masalah jika Umno bekerjasama dengan PKR.
“Salah ke kalau Umno nak bekerjasama dengan PKR. Kalau salah terpulang kepada mereka. Jadi kalau mereka kata tidak ada, tidak pernah bincang, maknanya tidak benar Umno nak bersubahat dengan PKR.
“Tidak ada pun kerjasama. Mananya ada dua perkara di sini pertama ada perbualan dan adakah ia tulen, kedua apa yang ada dalam perbualan itu. Betul atau tidak?,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Majlis Kelab Penyokong Kerajaan Barisan (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan akan membuat laporan polis mengenai rakaman perbualan telefon berkenaan.
Semalam, Ahmad Zahid menafikan wujud perbualan dengan Anwar seperti dalam audio rakaman yang tular di media sosial.
Malah, Ahmad Zahid menegaskan tiada sebarang perbualan antaranya dengan Anwar selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 baru-baru ini.
Berikutan itu beliau mengarahkan pegawainya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang terlibat.
Malam tadi, Anwar turut menafikan perkara tersebut dan meminta pegawainya membuat laporan polis, selain mendakwa ia cubaan untuk mengalih perhatian berhubung perseteruan antara Umno dan Bersatu.
Terdahulu, tular satu klip audio perbualan didakwa antara Anwar dan Ahmad Zahid sedang berbincang strategi politik semasa PAU baru-baru ini.
Menerusi audio tersebut, perbualan antara kedua-dua individu sangat mesra dan saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan semasa PAU. – Malaysiapost

