Johor benar terawih 20 rakaat, witir tiga rakaat

0
2

JOHOR membenarkan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau termasuk pelaksanaan solat terawih sepanjang Ramadan meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mewajibkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP). 

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata pelaksanaan solat terawih hendaklah mengutamakan jemaah lelaki dewasa dan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas, dengan 20 rakaat diikuti solat sunat witir tiga rakaat. 

Yahya menjelaskan, imam bertugas bagi solat tarawih hendaklah membaca surah lazim saja pada setiap rakaat selepas bacaan surah Al-Fatihah. 

“Kebenaran ini berkuat kuasa sepanjang tempoh Ramadan, bermula 13 April ini hingga ada ketetapan lain ditentukan Majlis Agama Islam Johor (MAINJ), selepas mendapat pandangan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM). 

“Sepanjang tempoh PKPB, program tadarus al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam selepas selesai solat witir atau waktu yang diprogramkan oleh pihak masjid mahupun surau. 

“Majlis khatam al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak lebih sejam 30 minit, manakala program kuliah dan ceramah dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Bagaimanapun, Yahya berkata.kuliah sebelum atau selepas solat terawih dilarang sama sekali. 

Pada masa sama menurutnya, majlis berbuka puasa, sahur dan moreh di dalam masjid mahupun surau dibenarkan di kawasan khusus dengan juadah hendaklah dibungkus, namun tidak dibenarkan secara bufet atau layan diri. 

“Bagi majlis tertentu seperti jamuan berhidang, dibenarkan untuk bilangan 50 jemaah saja di ruang ditetapkan. 

“Kegiatan memasak di dalam kawasan masjid dan surau tidak dibenarkan. Namun program agihan bubur lambuk dalam kawasan masjid dan surau dibenarkan. 

“Majlis qiamullail di masjid mahupun surau dibenarkan untuk tempoh dua jam sebelum masuk waktu subuh, namun jemaah tidak dibenarkan tidur bermalam di dalam premis itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here