AHLI Umno diseru supaya menggunakan media sosial dalam menangkis segala tomahan dan fitnah yang dihadapi parti itu sekarang ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menyeru tindakan itu turut meminta semua ahli menunjukkan kesetiaan dan keikhlasan.
Menurutnya, jika tomahan dan fitnah dihadapi Umno tidak ditangkis segera, persepektif negatif akan terus dimainkan pihak lawan untuk menahan Umno daripada bangkit.
“Ahli Umno sekalian. Ini zaman dunia digital, dalam kebaikannya terselindung juga keburukan jika niat kita tidak baik ketika menggunakan media sosial.
“Barisan Nasional (BN) tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 angkara media sosial. Pelbagai dakyah, fitnah, perspekif negatif dan cerita tokok tambah diada-adakan pihak lawan untuk menjadikan rakyat benci kepada Umno serta BN. Ia berterusan hingga kini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, selepas menang rakyat dapat menilai apa yang mereka lakukan dan terbukti yang dikatakan pemerintahan dan kemenangan berasaskan fitnah tidak bertahan lama.
“Sehinggakan pada masa itu sebuah parti politik menawarkan peluang pekerjaan kepada cybertrooper dengan bayaran ribuan ringgit sebulan. Mereka iklankan pekerja menggunakan Jobstreet.
“Misi mereka memburuk-burukkan Umno dan menyebarkan fitnah dan ia masih berlarutan sehingga saat ini walaupun Umno hanya membentuk kerajaan dan tiada kuasa pemerintahan mutlak, mereka masih melakukan perkara sama,” katanya.
Beliau mendakwa, perkara itu adalah kerana tidak mahu Umno bangkit dan mahu melemahkannya agar terus dibenci rakyat.
“Sedangkan rakyat sudah menilai pengorbanan dan sumbangan BN pada agama, bangsa dan tanah air. Mereka juga menilai kepimpinan 22 bulan dan setahun.
“Ahli Umno sekalian sangat memahami mengenai keadaan parti, kewangan dan situasi Umno pada saat ini. Kita dihalang, dibekukan akaun dan ada usaha untuk membubarkan parti.
“Apa yang saya minta adalah tangkis tohmahan dengan fakta yang tepat dan bukannya menabur fitnah. Kepimpinan Umno tidak seperti mereka,” katanya. – Malaysiapost

