GAGAL hadir ke tempat kerja, membongkar kepada penemuan mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh di sebuah apartmen di Jalan Pandan Indah 29, Taman Pandan Indah, Ampang, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kejadian itu disedari jam 2 petang oleh seorang ahli keluarganya yang menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam apartment terbabit sebelum membuat laporan polis.
Katanya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan menemui mayat mangsa berusia 30 tahun yang lengkap berpakaian, dalam keadaan terlentang di atas katil bersama kesan cedera di dada.
“Ibu mangsa dimaklumkan oleh majikan mangsa yang anaknya tidak hadir bekerja, semalam. Susulan itu, seorang ahli keluarga mangsa pulang ke rumah dan menemui mangsa terbaring di atas katil dalam salah sebuah bilik.
“Kejadian dipercayai berlaku antara jam 10 hingga 11 pagi ketika semua ahli kelurganya tiada rumah dan mangsa kali terakhir dilihat berada di rumah bersama adiknya,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata, sepasukan anggota daripada Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut hadir ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Pemeriksaan pada mayat mangsa menemui kesan cedera pada bahagian dada yang kita percayai ia berpunca daripada objek tajam.
“Mayat dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk proses bedah siasat pagi esok (hari ini) bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Siasatan lanjut sedang dilakukan dan motif kejadian belum dapat dipastikan,” katanya yang memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

