Najib tekad terus kuat, tidak mengalah hadapi tekanan

0
2

DATUK Seri Najib Razak mendakwa pelbagai tekanan yang dihadapinya ketika ini sama ada dari segi perundangan dan tomahan adalah perancangan pihak tertentu dalam cubaan menguasai parti Umno. 
Bekas Perdana Menteri itu berkata, tekanan semakin kuat diterima sejurus tamatnya Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini, apabila wujud beberapa insiden dan tuduhan terhadapnya dan beberapa individu lain di dalam parti.
“Mungkinkah dalam kerakusan sesetengah pihak dalam persiapan Pemilihan Parti yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi, ada yang berkompromi dengan musuh dan secara tidak lansung mendedahkan diri mereka yang sebenar kepada saya?
“Satu yang pasti buat saya adalah kegopohan mereka akan memakan diri kerana ia telah membuktikan kepada saya sesuatu yang telah lama saya syaki, iaitu terdapat lebih dari satu pihak seakan ‘invisible hand’ yang mahu bergelut untuk mengawal kuasa dalam parti Umno dan kemudiannya, mendapat kuasa di Putrajaya.
“Kerana sesiapa yang berjaya memimpin Umno – parti yang mempunyai kuasa, pengaruh, dan pengalaman tiada tandingan – mempunyai peluang besar untuk memimpin negara suatu hari ini. Ini adalah impian yang sekian lama disorok oleh ramai pihak di dalam parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini. 
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sewaktu Umno dan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan besar di pilihan raya terdahulu, beliau telah cuba melakukan yang terbaik sebagai seorang pemimpin dan melepaskan jawatan sebagai Presiden parti dengan rasa tanggungjawab. 
“Selepas itu, tahun-tahun seterusnya saya jalani sebagai ahli biasa parti tanpa sebarang jawatan dan tempat dalam kerajaan telah mengajar saya sikap rendah diri dan menambah kefahaman akan erti sebenar menjadi seorang pemimpin.
“Kefahaman ini membuahkan kearifan yang membolehkan saya melihat dengan jelas setelah sekian lama dan membezakan di antara musuh dan rakan dalam selimut,” katanya. 
Najib berkata, dia menerima kenyataan hidupnya sekarang dan menguatkan iman untuk mendepani cabaran akan datang serta meneruskan perjuangan untuk menebus maruah dan kekhilafan terdahulu sewaktu memipin negara dan parti. 
“Bukan sahaja untuk meyakinkan diri saya, tetapi untuk parti yang amat saya sayangi dan ahli-ahlinya yang layak mendapat kepimpinan terbaik.
“Saya telah berikrar untuk berkhidmat kepada parti keramat yang telah menambahbaik kehidupan jutaan rakyat di setiap lapisan generasi dengan sikap nasionalis, berwawasan dan bertanggungjawab,” katanya. 
Beliau turut berjanji kepada diri sendiri untuk terus kuat dan tidak mengalah dalam menegakkan kebenaran demi membela diri.
“Saya akan terus berdiri melawan setiap percubaan membuli dan menakutkan saya oleh mereka yang berkuasa supaya suatu hari nanti, akan menamatkan tradisi khianat mengkhianati yang telah menyusup menjangkiti pembuluh darah Umno dan membunuh setiap legasi khidmat dan perjuangan parti yang diasaskan dahulu.
“Jika mereka yang bersubahat ini telah lupa atau tidak sedar, saya ingatkan semula mereka bahawa kesombongan Umno tidak lama dahulu ditundukkan oleh rakyat,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here