PRU15: Bersatu, PAS bincang pembahagian kerusi Jumaat ini

0
1

BERSATU dan PAS akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Jumaat ini.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata mesyuarat berkenaan akan diwakili beliau sendiri daripada Bersatu sementara PAS diwakili Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Di peringkat pusat memang kita dah ada jawatankuasa dan dalam perjumpaan sebelum ini pun, kita dah selesaikan lebih 20 peratus daripada jumlah 222 kerusi Parlimen yang ada.

“Jadi pada perjumpaan 9 April nanti, kami akan duduk semeja untuk membincangkan lebih lanjut berhubung pembahagian kerusi itu antara Bersatu dan PAS,” katanya seoerti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada warga Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Mes Pegawai Kanan Batalion 3 PGA Bidor, Perak.

Ahmad Faizal berkata, jalinan kerjasama antara kedua-dua parti ke arah menghadapi PRU15 berjalan dengan sangat baik dan lancar.

“Usaha ini sedang kita lakukan dan saya amat berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan PAS bersama rakan komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Mengulas pembahagian kerusi bagi DUN di Perak, Ahmad Faizal yang juga Ketua Bersatu Perak berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

Beliau berkata, apa yang pasti pembahagian kerusi itu hanya melibatkan Bersatu dan PAS sepertimana kenyataan bersama Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria baru-baru ini.

“Patutnya ada rakan lain bersama tetapi kalau orang itu dah tak mahu bersama kita, apa boleh buat. Kita serahkan kepada rakyat sama ada mahukan penjajaran baharu atau mahukan kesepakatan sedia ada ini dikekalkan,” katanya.

Pada 2 April lalu, Bersatu dan PAS di Perak bersetuju membentuk jawatankuasa manifesto bagi PN negeri Perak sebagai tanda kesepakatan menghadapi PRU15 secara bersama.

Kedua-dua parti itu juga telah mengenal pasti kerusi yang berpotensi untuk ditandingi di peringkat negeri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here