MAYAT seorang bayi lelaki ditemui dalam sebuah kotak di perhentian bas Kawasan Perindustrian Batu 22, Ijok, Kuala Selangor pagi semalam.
Penemuan mayat itu dimaklumkan orang awam kepada polis pada jam 10.35 pagi itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin, berkata laporan mengenai penemuan mayat bayi itu diterima oleh Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.
“Orang awam itu memaklumkan menemui sebuah kotak yang mengandungi mayat bayi lelaki.
“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Ambia berkata, bedah siasat terhadap mayat bayi itu dijalankan hari ini bagi mengenalpasti punca sebenar kematian. – Malaysiapost

